
Menurutnya, tindakan itu wajar wajar dipuji kerana selari tuntutan amar makruf nahi mungkar yang menjadi antara prinsip asas dalam pentadbiran negeri itu.
Bagaimanapun, polemik yang timbul di mana ada pertubuhan menafikan aktiviti seksual pada program 17 Jun lalu sebaliknya hanya perjumpaan atau sesi libat urus, menuntut kepada kebenaran untuk mengelak salah faham.
“Jika terbukti siasatan dan tindakan pihak polis berasas dan benar, kita minta supaya tindakan tegas diambil kepada pihak-pihak yang terbabit.
“Sebaliknya jika dakwaan pihak NGO dan individu terbabit itu betul, tindakan untuk memperbetulkan keadaan perlu diambil. Prinsip keadilan mesti ditegakkan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kerajaan negeri juga menekankan pihak bercadang untuk menganjurkan apa jua program, khususnya berpotensi mengundang kontroversi atau kekeliruan, wajib mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Kegagalan mematuhi garis panduan dan prosedur boleh mencetuskan kesan yang tidak diingini serta mencemarkan keharmonian negeri,” katanya.
Semalam media melaporkan, Majlis AIDS Malaysia (MAC) menjelaskan pihaknya mengadakan sesi outreach bagi mendekati komuniti berisiko tinggi sebagai pencegahan HIV, di sini pada 17 Jun lalu sebelum diserbu pihak polis.
Majlis yang berlangsung 8 malam sehingga 2 pagi itu adalah pendekatan strategik diperkenalkan Kementerian Kesihatan untuk memastikan perkhidmatan HIV lebih berkenaan, inklusif dan berpaksikan kepada komuniti.
Susulan kenyataan itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, menegaskan serbuan polis terhadap perjumpaan makan-makan LGBT di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin itu adalah kerana pihak berkuasa itu mempunyai bukti yang kukuh.
Katanya, serbuan dilakukan hasil risikan polis sebelum serbuan itu dilakukan selain turut mendapat aduan daripada pihak yang berkenaan mengenai aktiviti kumpulan itu.