Gangguan sistem pagar: Tiada unsur sabotaj, serangan siber dikesan

Gangguan sistem pagar: Tiada unsur sabotaj, serangan siber dikesan

Isu disyaki berpunca daripada gangguan integrasi data antara MyIMMs dan pangkalan data keselamatan sebuah agensi penguat kuasa antarabangsa.

Suasana di pintu masuk di Johor Bahru ketika sistem pagar automatik untuk pelawat asing terganggu. (Gambar Facebook)
SEPANG:
Tiada unsur sabotaj atau serangan siber dikesan setakat ini sebagai punca gangguan sistem pagar automatik untuk pelawat asing, kata Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Shuhaily Zain.

Isu itu disyaki berpunca daripada gangguan integrasi data antara Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan pangkalan data keselamatan sebuah agensi penguat kuasa antarabangsa, yang menyebabkan proses semakan silang menjadi perlahan.

“Perkara itu (serangan siber) kita tidak lihat lagi pada masa ini. Biar kami lakukan kerja kami dan mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Shuhaily berkata semua sistem pagar automatik untuk pelawat asing yang terjejas sebelum ini kini kembali beroperasi sepenuhnya.

Pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku akibat gangguan sistem berkenaan dan berusaha memastikan perkara itu tidak berulang.

Gangguan sistem pagar automatik dilaporkan berlaku sejak Jumaat lepas dan berlarutan sehingga petang semalam.

Kesesakan dan barisan menunggu yang panjang dilaporkan di beberapa lokasi utama termasuk KLIA Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor.

Susulan itu, AKPS mengambil langkah mitigasi bagi melancarkan aliran pelawat termasuk pengaktifan semua kaunter manual dan penugasan anggota tambahan di pintu-pintu masuk terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.