
Setiausaha Polis, Kamaruzaman Abdullah, berkata pertukaran itu membabitkan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Azizee Ismail yang dilantik ketua polis Pulau Pinang.
Beliau berkata, Komandan Maktab Polis Kuala Lumpur, Shazeli Kahar pula dilantik ketua polis Selangor, manakala Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Fadil Marsus dilantik ketua polis Kuala Lumpur.
“Timbalan Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah dilantik ketua polis Kedah baharu, sementara Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, Ab Rahaman Arsad dilantik ketua polis Johor baharu,” katanya dalam kenyataan.
Kamaruzaman berkata, lima pegawai kanan itu memangku pangkat komisioner polis (CP).
Menurutnya, polis turut melakukan pertukaran 18 pegawai kanan lain antaranya membabitkan Ketua Lesen Pasukan Urus Setia KPN (Lesen Senjata Api) Bukit Aman, Md Nazri Zawawi yang dilantik timbalan pengarah pengurusan (perkhidmatan/perjawatan) Bukit Aman dengan memangku pangkat timbalan komisioner polis (DCP).
Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Mohd Sukri Kaman pula dilantik timbalan pengarah risikan/operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.
“Komander Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Che Ghazali Che Awang dilantik komandan Maktab Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat DCP.
“Timbalan Ketua Polis Perlis, Baderulhisham Baharudin dilantik timbalan ketua polis Kedah, manakala Ketua Cawangan Khas Sarawak, Mohd Taufik Toh Abdullah dilantik ketua penolong pengarah E6 Cawangan Khas Bukit Aman dengan kedua-duanya memangku pangkat DCP.”
Kamaruzaman berkata, Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur, Suffian Sulaiman dilantik timbalan ketua polis Terengganu baharu.