‘Penghargaan luar biasa’ kepada rakyat diumum minggu depan, kata PM

‘Penghargaan luar biasa’ kepada rakyat diumum minggu depan, kata PM

Anwar Ibrahim Kementerian Kewangan sedang memperhalusi cadangan boleh diumumkan segera bagi meringankan beban rakyat.

ANWAR IBRAHIM
Anwar Ibrahim berkata pengumuman itu akan dibuat Isnin atau Selasa.
PERMATANG PAUH:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi bayangan penghargaan luar biasa kepada rakyat akan diumumkan minggu depan.

Beliau berkata Kementerian Kewangan sedang memperhalusi cadangan boleh diumumkan segera bagi meringankan beban rakyat di samping menangani isu-isu semasa.

“Tiap-tiap minggu pasukan Kementerian Kewangan meneliti langkah yang boleh diumumkan oleh Perdana Menteri dalam masa singkat dan boleh bantu tangani masalah rakyat.

“Kalau tidak Isnin, Selasa… bagi masa dua, tiga hari lagi untuk diperkemas. Nanti saya umumlah. Doakan yang elok-elok, insya-Allah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini hari ini.

Anwar berkata kerajaan sedang mencari pendekatan terbaik untuk mengimbangi kenaikan kos sara hidup dengan keupayaan fiskal negara memandangkan perbelanjaan sedia ada bagi bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan kenaikan gaji penjawat awam mencecah berbilion ringgit.

Pada 14 Julai lepas, perdana menteri telah memberi bayangan berkaitan perkara berkenaan dalam hantaran menerusi laman Facebooknya dengan memuat naik poster “AKAN DATANG” bersama mesej:
“Suatu Penghargaan Luar Biasa Untuk Rakyat Malaysia. Bersama Malaysiaku”.

Hantaran itu mencuri perhatian warganet yang kebanyakannya teruja menantikan pengumuman yang dijangka memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.