
“Walaupun Kerajaan sedang meneliti langkah untuk mengelakkan penyalahgunaan subsidi RON95, BUDI95 dilaksanakan dengan hasrat untuk memastikan keperluan harian rakyat Malaysia dapat dipenuhi.
“Had pembelian sekali sehari jelas tidak selaras dengan tujuan tersebut,” kata MoF dalam kenyataan mengulas beberapa artikel media berhubung dakwaan terbabit.
Menerusi BUDI95, harga RON95 akan dikurangkan kepada RM1.99 seliter mulai 30 Sept yang akan memanfaatkan 16 juta rakyat.
Semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi itu dengan pengesahan dibuat menggunakan MyKad, mekanisme sama penyaluran bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Setiap rakyat Malaysia layak menggunakan 300 liter RON95 sebulan, tetapi perkhidmatan e-panggilan dikecualikan had penggunaan.
Di bawah sistem baharu itu, bukan warganegara dan individu tanpa kelayakan akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi yang jumlahnya akan ditentukan pada hujung bulan.
Sebagai penghargaan khas, seramai 300,000 anggota tentera dan polis akan menerima manfaat itu lebih awal bermula 27 Sept, diikuti sembilan juta golongan B40 yang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 Sept.
Pada 30 Sept sistem baharu itu akan dibuka kepada semua 16 juta rakyat Malaysia, dengan pelaksanaan BUDI95 dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan mendadak penggunaan.
Kerajaan menyediakan portal www.budimadani.gov.my yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 9 pagi, Khamis bagi memudahkan semakan profil serta baki penggunaan kelayakan bulanan.
Pemandu e-panggilan juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal terbabit.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI MADANI di nombor 1300-88-9595.