Kehilangan pempengaruh hanya sandiwara, kata polis

Kehilangan pempengaruh hanya sandiwara, kata polis

Polis berkata keterangan 'Ija' dan adiknya sudah diambil dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas mendapat kebenaran menyiasat daripada pihak timbalan pendakwa raya.

Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin
Ketua Polis Muar Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata hasil siasatan mendapati ‘Ija’ dipercayai menenggelamkan kereta isterinya di Sungai Tui sebelum melarikan diri ke negara jiran. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Misteri kehilangan pempengaruh Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin yang dikenali ‘Ija’ hanya sandiwara dirancang demi kepentingan peribadi.

Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata hasil siasatan mendapati lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai menenggelamkan kereta isterinya di Sungai Tui, Lenga sebelum melarikan diri ke negara jiran.

Menurutnya, adiknya membuat laporan 15 Julai lalu dipercayai bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Mangsa sebelum itu dikatakan hilang selepas memaklumkan dia dalam perjalanan ke Muar untuk membaiki kenderaan.

“Adiknya, Tengku Abd Aziz, 30, tampil membuat laporan di Balai Polis Lenga sehingga membawa kepada pelancaran operasi mencari dan menyelamat.

“Namun, siasatan mendapati ada unsur penipuan dalam laporan tersebut dan adik mangsa mengaku bersubahat serta berpura-pura menjalankan usaha pencarian bagi mengelirukan polis,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, polis sudah mengambil keterangan Ija dan adiknya, dengan siasatan lanjut akan diteruskan selepas pihaknya mendapat kebenaran menyiasat daripada pihak timbalan pendakwa raya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam serta Seksyen 109 akta sama kerana bersubahat melakukan kesalahan.

Katanya, mereka boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Polis menegaskan tindakan membuat laporan palsu adalah kesalahan serius yang boleh menjejaskan sumber dan keutamaan tugasan pihak berkuasa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.