Cubaan laga saya, Awang Tengah sebab cemburu, kata Abang Jo

Cubaan laga saya, Awang Tengah sebab cemburu, kata Abang Jo

Premier Sarawak berkata naratif tidak berasas itu wujud daripada rasa cemburu terhadap kejayaan ekonomi Sarawak berkembang pesat.

Premier Sarawak Abang Johari Openg meminta rakyat bijak menilai spekulasi disebarkan pihak tertentu berniat mengganggu kestabilan politik Sarawak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Premier Sarawak, Abang Johari Openg membidas cubaan pihak tidak bertanggungjawab melaga-lagakan beliau dan timbalannya, Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya, naratif tidak berasas di media sosial itu wujud daripada rasa cemburu terhadap kejayaan ekonomi Sarawak berkembang pesat.

Beliau berkata, rakyat lebih memahami situasi politik Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak sentiasa menjaga hubungan baik antara pemimpin sesama parti serta parti lain dalam komponen yang membentuk kerajaan negeri.

“Baru-baru ini ada cubaan melaga-lagakan pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di media sosial kononnya Awang Tengah dan Abang Jo bergaduh.

“Kesian Awang Tengah, ada yang cuba mewujudkan keretakan antara kami,” katanya menurut Berita Harian ketika berucap merasmikan pembukaan Jambatan Batang Saribas 1 dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong di Sarawak.

Justeru, beliau meminta rakyat Sarawak bijak menilai spekulasi disebarkan pihak tertentu yang berniat mengganggu kestabilan politik negeri itu.

Khamis lalu, FMT memetik sumber sebagai berkata, persaingan senyap terhadap kepimpinan dikatakan akan berlaku di Sarawak ketika puak sealiran Abang Johari dan Awang Tengah mula meletakkan kedudukan mereka bagi berdepan potensi itu yang boleh membentuk hala tuju masa depan negeri.

Sumber itu memberi amaran isu penggantian boleh mencetuskan gerakan politik hebat dalam beberapa bulan akan datang, dengan PRN dijadualkan pada 2026.

Menurutnya, Abang Johari yang juga anak kepada gabenor pertama negeri, Abang Openg Sapiee, mendapat sokongan padu pengundi luar bandar dan perwakilan PBB diketuainya.

Katanya, Abang Johari turut mendapat sokongan perkhidmatan awam negeri kerana meneruskan pembangunan infrastruktur, inisiatif ekonomi digital dan autonomi ke atas hasil negeri secara agresif.

Awang Tengah yang juga timbalan presiden PBB, sebaliknya dilihat sesetengah pihak sebagai pemimpin berkarisma dan sumber itu berkata, beliau turut mendapat sokongan ketara akar umbi serta merupakan pentadbir projek pembangunan negeri yang cekap.

Awang Tengah ialah menteri kedua bagi sumber asli dan pembangunan bandar serta menteri perdagangan dan pelaburan antarabangsa.

Ketua Penerangan PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan menolak cakap-cakap mengenai perebutan kuasa dnegan berkata, dua pemimpin tertinggi PBB tidak bersaing satu sama lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.