
“Sebarang aktiviti maritim yang tidak mematuhi prinsip diumumkan Tentera Laut IRGC akan berdepan risiko serius, manakala kapal melanggar peraturan akan dihentikan secara paksa,” kata jurucakap IRGC, Sardar Mohebbi dalam kenyataan dipetik agensi berita separa rasmi Fars, lapor Anadolu Ajansi.
Mohebbi berkata, “tiada perubahan” dalam pengurusan laluan air itu setakat ini.
“Sebarang pergerakan kapal awam dan komersial yang mematuhi protokol transit dikeluarkan Tentera Laut IRGC serta mengikut laluan ditetapkan dengan penyelarasan akan berada dalam keadaan selamat dan terjamin.”
Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang Iran pada 28 Feb lalu yang mencetuskan tindak balas Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.
Sejak 13 April lalu, AS menguatkuasakan sekatan tentera laut menyasarkan trafik maritim Iran di laluan strategik itu.
Gencatan senjata selama dua minggu diumumkan 8 April lalu melalui pengantaraan Pakistan, disusuli rundingan terus di Islamabad 11 April lalu, namun tiada persetujuan dicapai berhubung gencatan senjata berterusan.
Presiden AS, Donald Trump, kemudian melanjutkan tempoh gencatan senjata tanpa menetapkan tarikh akhir baharu atas permintaan Pakistan.