
Pengerusi Urimai berkata P Ramasamy dalam pertemuan dipengerusikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin itu, pelbagai pandangan telah dikumpul untuk meningkatkan daya tarikan pembangkang khususnya di kalangan masyarakat bukan Melayu.
Menurutnya, ada kesepakatan Bersatu dan PAS perlu mengamalkan pendekatan lebih inklusif bagi memperkukuh hubungan dengan komuniti Cina dan India.
Beliau mendakwa komuniti India semakin menunjukkan keterbukaan terhadap PN namun masyarakat Cina masih bersikap berhati-hati walaupun sentimen kekecewaan terhadap DAP semakin meningkat.
“Satu cadangan menarik telah dikemukakan, iaitu menubuhkan satu blok politik yang berasingan daripada gabungan PN memfokuskan khusus usaha mendapatkan sokongan daripada komuniti Cina dan India,” katanya dalam kenyataan.
Selain Urimai, pertemuan itu turut dihadiri wakil Gerakan, MIPP, Pejuang, Putra, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Muda, Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Berjasa dan Parti Kemajuan Malaysia (MAP).
Pertemuan itu susulan usaha untuk menubuhkan ‘Barisan Pembangkang Bersatu’ bagi menyatukan komponen PN dengan semua parti dan kumpulan yang menentang kerajaan sedia ada.
Ramasamy yang juga bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata mesyuarat tersebut dianggap positif dan produktif, serta menjadi platform serius untuk merangka strategi PN bagi meraih sokongan pelbagai kaum dengan lebih meluas.
“Sebagai ketua Urimai, saya menyatakan sokongan penuh terhadap penubuhan satu blok politik di luar kerajaan.
“Blok ini boleh menjadi wadah untuk memperkukuh kekuatan pembangkang—khususnya dalam kalangan pengundi Cina dan India bagi menghadapi perubahan lebih besar pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.