22 hakim baharu angkat sumpah 28 Julai

22 hakim baharu angkat sumpah 28 Julai

Perdana menteri berkata proses lantikan 22 hakim melalui semua peringkat sewajarnya, termasuk penilaian JAC, perbincangan dengan raja-raja Melayu serta perkenan Agong.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan Pelan Induk Bumiputera, Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Universiti Teknologi Mara Kampus Permatang Pauh hari ini. (Gambar Bernama)
PERMATANG PAUH:
Lapan hakim Mahkamah Rayuan dan 14 hakim Mahkamah Tinggi baharu dijadual mengangkat sumpah 28 Julai ini, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, proses pelantikan itu melalui semua peringkat sewajarnya, termasuk penilaian Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), perbincangan dengan raja-raja Melayu serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Ramai tanya saya kenapa tidak umum lebih awal. Saya tidak boleh jawab sewenang-wenangnya kerana proses pelantikan hakim melibatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Ia perlu melalui perbincangan bersama raja-raja dan setelah dipersetujui, barulah dibawa semula kepada Agong untuk diperkenan,” katanya berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Bumiputera, Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di sini.

Beliau berkata, tiada hakim dipecat sepertimana digambarkan sesetengah pihak, sebaliknya proses pemilihan hakim baharu perlu dilaksanakan dengan teliti dan penuh hormat kepada sistem Raja Berperlembagaan.

Pada majlis anjuran Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) itu, Anwar melancarkan Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (PIPBPP) 2026-2035, Program Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB sebagai inisiatif membantu Bumiputera Pulau Pinang.

Pelancaran PIPBPP 2026-2035 itu bakal menjadi panduan strategik utama dalam memacu pembangunan komuniti Bumiputera di Pulau Pinang secara berterusan, inklusif dan mampan sepanjang 10 tahun berdasarkan Rukun Madani.

PIPBPP dibangunkan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai perunding serta penyelidik bersama MPBPP.

Program Tunas Madani pula dirangka dengan objektif khusus membina keupayaan graduan Bumiputera agar beralih daripada pencari kerja kepada pencipta peluang melalui bidang keusahawanan.

Di bawah Program Tunas Madani itu juga, modul pembangunan keusahawanan holistik merangkumi latihan intensif, bimbingan fasilitator/mentor industri, sokongan pembiayaan serta akses kepada pasaran disediakan.

Pengerusi MPBPP, Khalid Ramli, ketika berucap pada majlis itu berkata pihaknya dengan kerjasama UiTM Pulau Pinang menyasarkan sekurang-kurangnya 100 graduan menyertai Tunas Madani fasa pertama, dengan sasaran 80% peserta berjaya menubuhkan perniagaan aktif dalam tempoh 12 bulan.

Katanya, projek perumahan JKPSB pula melibatkan pembinaan tiga perumahan dengan jumlah keseluruhan 3,231 unit kediaman di Permatang Pauh membabitkan kos pembangunan RM1 bilion.

Menurut Khalid, inisiatif itu bertujuan membuka peluang kepada komuniti Bumiputera Pulau Pinang memiliki rumah dilengkapi kemudahan asas dan persekitaran kondusif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.