
Ketua Polis Cameron Highlands Azri Ramli, berkata mayat bayi itu ditemukan kira-kira 10 pagi oleh bapa suspek ketika melalui kawasan tangki air di belakang rumah mereka.
“Bapa suspek terlihat kawasan tanah yang seperti baru dikorek sebelum ternampak kain putih yang membaluti bayi itu, lalu menghubungi pihak polis,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek berusia 19 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di inap desa mengaku menanam bayi berkenaan yang baru dua hari dilahirkan oleh kakak tirinya yang berusia 21 tahun.
“Suspek turut menunjukkan lokasi dia menanam uri bersama bayi itu. Polis menahannya kira-kira pukul 5.30 petang di rumah dan merampas beberapa peralatan seperti cangkul dan penyodok yang digunakan untuk menggali tanah,” katanya.
Suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan kematian bayi.