Pemuda didakwa dera, bunuh anak kekasih

Pemuda didakwa dera, bunuh anak kekasih

Muhammad Isyraf Hifhzan Abdullah, 20, didakwa melakukan perbuatan itu di tingkat tiga sebuah kedai di Bandar Satelit Pulau Sebang, Alor Gajah.

Alor Gajah
Tertuduh, Muhammad Isyraf Hifhzan Abdullah, 20, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan membunuh anak kandung kekasihnya berusia 19 bulan. (Gambar Facebook)
ALOR GAJAH:
Seorang pekerja kedai menjual peralatan memancing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan membunuh anak kandung kekasihnya yang berusia 19 bulan, awal bulan ini.

Muhammad Isyraf Hifhzan Abdullah, 20, mengangguk faham setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Teo Shu Yee, dan tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bayi perempuan berkenaan di tingkat tiga sebuah kedai di Bandar Satelit Pulau Sebang, Alor Gajah, sekitar 9 malam pada 6 Julai lepas.

Jika disabit kesalahan, Muhammad Isyraf boleh dihukum mati atau penjara tidak lebih 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh baharu bagi serahan laporan bedah siasat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Sept depan untuk sebutan semula dan tidak membenarkan ikat jamin.

Menurut laporan media pada 7 Julai, sepasang kekasih disyaki membunuh bayi yang merupakan anak kandung wanita berkenaan dengan mendera mangsa pada malam sebelumnya.

Hasil pemeriksaan doktor di Hospital Tampin mendapati kesan lebam pada perut dan belakang badan bayi berkenaan selain kecederaan di lubang dubur sebelum doktor membuat laporan polis sehingga kedua-dua suspek diberkas.

Semakan lanjut mendapati, suspek lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes judi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.