
Ketua Polis Serdang Muhammad Farid Ahmad berkata dalam kejadian pada 8 Dis itu, mangsa mengalami lebam pada pipi kiri dan bibir.
Beliau berkata suspek menghampiri mangsa bersama enam individu lain sebelum dia didakwa menumbuk muka mangsa kira-kira lima kali.
“Seorang suspek wanita berusia 40 tahun telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis.
“Kami masih menyiasat kes ini dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata suspek dipercayai menyerang mangsa kerana tidak berpuas hati terhadap satu video TikTok, sambil menambah bahawa kes itu disiasat di bawah kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan.
Terdahulu FMT melaporkan, seorang wanita, Rani Arumugam yang mempunyai kecacatan fizikal akibat kecederaan tulang belakang, mendakwa diserang di tempat kerjanya di Serdang Raya.
Rani berkata dia diserang di hadapan rakan sekerja dan pelanggan di sebuah restoran makanan segera oleh sekumpulan tujuh individu, termasuk tiga wanita.
Menurutnya, serangan itu berpunca daripada satu video yang dimuat naiknya di TikTok sebagai respons kepada seorang pengguna yang dikenali sebagai Nalinee, yang didakwa telah mengganggu sepupunya.
Rani berkata dia dimalukan dan trauma akibat serangan itu, dan kejadian tersebut menyebabkan dia digantung kerja.
Serangan yang itu juga didakwanya disiarkan secara langsung di TikTok.