Jenayah siber P Pinang catat rugi RM112.9 juta

Jenayah siber P Pinang catat rugi RM112.9 juta

Kerugian itu meningkat RM42.9 juta berbanding RM70.1 juta direkodkan dalam tempoh enam bulan tahun lalu.

hacker scammer
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin, nasihat orang awam tidak mudah terpedaya panggilan, mesej atau tawaran hebat.
GEORGE TOWN:
Pulau Pinang merekodkan kerugian lebih RM112.9 juta akibat jenayah siber membabitkan penipuan kewangan dalam talian bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata jumlah kerugian itu menunjukkan peningkatan RM42.9 juta berbanding RM70.1 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Bagi tempoh Januari hingga semalam, polis Pulau Pinang berjaya melaksanakan lapan serbuan ke atas sindiket pusat panggilan dan menahan 75 individu termasuk 24 wanita, terdiri daripada 39 warga tempatan dan 36 warga asing,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang.

Alwi turut menasihati orang ramai tidak mudah terpedaya dengan panggilan, mesej atau tawaran hebat, sebaliknya disaran menyemak dan membuat pengesahan dengan pihak berkuasa sebelum mengambil sebarang tindakan.

Dalam perkembangan lain, Alwi berkata polis sedang mengenal pasti sindiket along dipercayai mengupah dua lelaki berusia 20-an, susulan penahanan mereka berhubung insiden kebakaran membabitkan tiga rumah teres di Tasek Gelugor dekat sini pada 24 Jun.

Selain itu, polis giat memburu dua suspek melepaskan tembakan ke arah kereta pacuan empat roda dipandu seorang lelaki di hadapan sekolah rendah di Sungai Nyior, dekat sini pada 1 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.