Pindaan Akta Orang Asli perlu suara akar umbi, bukan hanya inspirasi Māori

Pindaan Akta Orang Asli perlu suara akar umbi, bukan hanya inspirasi Māori

Wakil pertubuhan Orang Asli Ajis Sitin gesa lebih banyak sesi libat urus bagi dapat pandangan berhubung pindaan Akta Orang Asli 1954.

Orang-Asli
Wakil NGO harap pandangan akar umbi Orang Asli diambil dalam meminda Akta Orang Asli 1954 kerana ia berkait dengan kehidupan seharian mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan Orang Asli berharap pindaan Akta Orang Asli 1954 tidak dilakukan secara tergesa-gesa supaya penambahbaikan dasar diperkenalkan benar-benar mampu mengubah kehidupan kaum pribumi itu secara holistik.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) Ajis Sitin menggesa lebih banyak sesi libat urus diadakan khususnya untuk mendapatkan pandangan pemimpin dan profesional dari komuniti tersebut.

Menurutnya, tindakan terburu-buru dengan hanya mengambil pandangan pihak tertentu atau berinspirasikan masyarakat pribumi lain seperti Māori di New Zealand berisiko menyebabkan perubahan yang dirancang gagal kerana tidak mengambil kira suara akar umbi.

“Kami dimaklumkan kerajaan telah selesai berunding dengan pihak berkepentingan berhubung pindaan Akta 134, namun ramai pemimpin, cendekiawan dan pengamal undang-undang Orang Asli tidak dilibatkan untuk memberi pandangan serta ulasan.

“Saya berharap Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mengadakan libat urus bersama profesional, tokoh Orang Asli dan akar umbi,” kata bekas Ahli Dewan Negara itu kepada FMT.

Ajis turut mencadangkan isu berkaitan peruntukan, tanah dan hal-hal sosial seperti perkahwinan serta adat resam diteliti secara mendalam dalam cadangan pindaan akta terbabit.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata Akta Orang Asli 1954 akan dipinda dengan mengambil inspirasi daripada model pemerkasaan masyarakat Māori di New Zealand.

Antara elemen utama diperkenalkan kerajaan New Zealand dan berpotensi disesuaikan di Malaysia ialah hak pemilikan tanah, akses pendidikan yang lebih inklusif serta penubuhan agensi pembiayaan khusus bagi menyokong keusahawanan komuniti pribumi.

Bagaimanapun, Zahid menegaskan bahawa pendekatan New Zealand tidak boleh diguna pakai secara langsung, sebaliknya perlu diadaptasi mengikut keperluan dan realiti masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Sementara itu, Presiden Parti Orang Asli Malaysia (Asli), Rashid Ka’, berkata kejayaan masyarakat Māori di New Zealand berpunca daripada pengiktirafan kerajaan mereka terhadap pandangan komuniti tersebut.

Menurutnya, pandangan parti politik kaum itu seperti Te Pāti Māori turut diambil kira oleh kerajaan negara berkenaan.

“Tetapi di Malaysia, pandangan Orang Asli tidak didengar secara menyeluruh,” katanya, sambil menyatakan bahawa pindaan itu hanya diketahui melalui laporan media.

Beliau berkata, keberkesanan pindaan tersebut juga bergantung kepada kemahuan kerajaan untuk melakukan reformasi terhadap Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Orang Asli sejak sekian lama menginginkan JAKOA ditadbir oleh Orang Asli sendiri, berdasarkan merit dan bukan atas dasar pilih bulu atau pilih kasih.

“Saya mencadangkan sekurang-kurangnya 95% jawatan dalam JAKOA diisi oleh Orang Asli,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.