Demonstrasi 26 Julai ibarat candu untuk PAS, kata Puad

Demonstrasi 26 Julai ibarat candu untuk PAS, kata Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata himpunan itu tidak lebih sebagai retorik dan berunsur fanatik.

HIMPUNAN TURUN ANWAR
Himpunan dirancang Pemuda PAS hanya untuk menunjukkan budaya berdemonstrasi parti itu, kata Puad Zarkashi.
PETALING JAYA:
Perhimpunan dirancang Pemuda PAS pada 26 Julai ini tidak lebih daripada satu demonstrasi retorik dan berunsur fanatik, kata seorang pemimpin Umno.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, berkata sasaran kehadiran seramai 300,000 peserta oleh PAS menunjukan budaya demonstrasi seolah-olah sudah menjadi ‘candu’ kepada parti itu.

“Mereka suka berdemonstrasi. Lagi pun ahli PAS fanatik dan taasub kepada arahan parti. Setakat 300,000 hanyalah ‘kacang’ kepada PAS,” katanya di Facebook.

Bagaimanapun, Puad mempersoalkan keberkesanan demonstrasi berkenaan dalam mencapai objektif sebenar untuk mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Sudah tentu tidak. PAS sudah pasti tidak berani bawa usul undi tidak percaya atau percaya di Parlimen,” katanya.

Beliau turut menegaskan Umno kekal komited menyokong kerajaan perpaduan demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat.

“Umno sudah pasti tidak akan menyokongnya. Kami komited mempertahankan kerajaan sedia ada demi rakyat dan kestabilan negara.

“Justeru demonstrasi 26 Julai ini hanya tunjuk kekuatan PAS. Impaknya kecil apatah lagi jika tiada penyertaan masyarakat yang menyeluruh,” katanya.

Perikatan Nasional (PN), yang diterajui PAS dan Bersatu, sebelum ini menyatakan himpunan ‘Turun Anwar’ bertujuan membantah kegagalan kerajaan mengurus ekonomi dan kebajikan rakyat.

Isnin lalu, Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata 300,000 orang dijangka menyertai himpunan itu yng sebelum ini menyasarkan 50,000 orang.

Antara dijangka hadir termasuk pemimpin utama gabungan dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.