
Menurut Harian Metro yang memetik sumber, ahli perniagaan itu ke luar negara pada 12 Julai lalu dan baru pulang ke tanah air malam tadi.
Kata sumber, ketika ini SPRM dalam proses merakam percakapan ahli perniagaan berkenaan.
SPRM pada Isnin lalu, menggempur sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai eksport lebih RM950 juta.
Serbuan dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi pasukan petugas pelbagai agensi membabitkan Jabatan Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara di 19 lokasi sekitar Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor serta Kedah.
Operasi khas ‘Op Metal’ itu turut menyerbu enam lokasi di Pulau Pinang kelmarin, termasuk rumah, pejabat serta tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk dipercayai terbabit kegiatan itu.
Sumber memaklumkan sindiket itu didapati menyeludup keluar besi untuk dieksport ke India, China dan beberapa negara lain, namun diikrarkan barangan jentera serta logam lain tidak dikenakan cukai eksport 15% seperti ditetapkan kerajaan.
“Bagi memastikan besi ini dapat melepasi pemeriksaan dan mengelak dikenakan cukai, sindiket itu dipercayai merasuah beberapa pegawai penguat kuasa.”
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang mengesahkan serbuan itu berkata kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Katanya, siasatan turut menumpukan untuk mengenal pasti individu terbabit, termasuk penjawat awam yang melindungi kegiatan itu.