160 ketua Umno mahu peguam negara tarik balik rayuan titah Najib jalani tahanan rumah

160 ketua Umno mahu peguam negara tarik balik rayuan titah Najib jalani tahanan rumah

Ketua Umno Wangsa Maju Shafei Abdullah mewakili kumpulan itu berkata peguam negara seharusnya junjung titah raja.

Sebahagian 145 ketua Umno bahagian hadir pertemuan tertutup di sebuah hotel di ibu negara malam tadi.
PETALING JAYA:
Sejumlah 160 ketua Umno mendesak Peguam Negara Dusuki Mokhtar menarik balik permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Najib Razak memulakan semakan kehakiman berhubung titah adendum membenarkannya jalani baki pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Ketua Umno Wangsa Maju Shafei Abdullah yang mewakili mereka, berkata peguam negara sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan seharusnya menjunjung titah raja, mendukung keadilan, dan bukan menghalangnya.

Beliau mewakili 160 ketua Umno bahagian berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan tertutup di sebuah hotel di ibu negara malam tadi dengan 145 daripadanya hadir.

Shafei mencadangkan agar semua 191 bahagian Umno yang belum mengadakan persidangan supaya memasukkan usul khas berkaitan tambahan titah diraja tersebut dalam mesyuarat masing-masing.

“Usul itu penting sebagai bukti kesepakatan dan solidariti parti dalam mempertahankan institusi raja-raja Melayu serta menegakkan prinsip keadilan untuk semua,” katanya.

Ketua bahagian Umno seluruh negara juga menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan titah addendum tersebut.

Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan dimaklumkan bahawa Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang menjadi peguam negara ketika titah adendum itu ditandatangan pada Januari tahun lalu, mengakui kewujudannya.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengesahkan pendakwa raya mengakui kewujudan perintah tambahan semasa berhujah pada 2 Julai, namun mempersoalkan kesahihannya.

Najib mahu kerajaan melaksanakan perintah tambahan bertarikh 29 Jan 2024 yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.

Bekas perdana menteri itu mengetahui kewujudan titah itu tidak lama selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pengurangan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, serta pengurangan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta, pada awal Februari tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.