Peserta eHati bogel pada acara ‘Queens Night’

Peserta eHati bogel pada acara ‘Queens Night’

Siasatan polis mendapati aktiviti bogel itu dilakukan oleh fasilitator dan juga peserta program.

HUSSEIN OMAR KHAN
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata setakat ini seramai 30 individu termasuk penganjur dirakam keterangan.
SHAH ALAM:
Peserta motivasi rumah tangga eHati berbogel dalam acara dinamakan ‘Queens Night’ pada malam terakhir program yang berlangsung dari 27 hingga 30 Sept tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata siasatan mendapati empat individu terlibat dalam ‘Queens Night’ dan berlaku aktiviti berbogel seperti didakwa.

Katanya, aktiviti bogel itu dilakukan oleh fasilitator dan juga peserta program yang diadakan di Pusat Konvensyen IDCC.

“Terdapat dua pakej ditawarkan pada program terbabit, di mana pakej A berharga sekitar RM6,000 manakala pakej B berharga sekitar RM9,000,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor.

Hussein berkata, pakej B mempunyai tambahan program dikenali ‘Queens Night’ dan aktiviti bogel itu turut dipanggil sebagai ‘rebirth’ yang dikatakan memberikan motivasi kepada peserta.

Katanya, polis merampas pelbagai peralatan digunakan dalam program itu, termasuk beberapa cecair minuman juga sudah dihantar kepada Jabatan Kimia untuk mengetahui kandungannya.

Dalam pada itu, Hussein berkata polis mengenal pasti 50 peserta yang menyertai program berkenaan.

“Kami sudah ada senarai, maka saya ingatkan mereka tampil di IPD Shah Alam untuk memberi kenyataan. Sekiranya gagal, tindakan lebih keras termasuk tangkapan akan diambil kepada individu terbabit,” katanya.

Menurutnya, setakat ini seramai 30 individu termasuk penganjur dirakam keterangan.

Terdahulu, pasangan suami isteri yang juga pengasas program itu bersama empat individu lain direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Pengasas program itu dilaporkan ditahan semalam selepas memberikan keterangan di IPD Petaling Jaya.

Kontroversi program itu tercetus apabila didedahkan seorang pengguna Facebook minggu lalu.

Dakwanya, insiden bermula apabila ‘penceramah’ wanita muncul dengan berbikini seterusnya berbogel dan menari bersama ‘ahli kumpulannya’.

Mereka kemudian mengajak peserta ikut sama menanggalkan pakaian selepas diberikan sejenis minuman.

Selain itu, peserta disuruh melakukan upacara ‘sacred bath’ dan ‘rebirth’ yang berbentuk seperti ritual keagamaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.