Kilang e-waste diserbu, polis rampas jongkong aluminium RM2.1 juta

Kilang e-waste diserbu, polis rampas jongkong aluminium RM2.1 juta

Seramai 25 pekerja kilang terdiri daripada warga China, Bangladesh dan Myanmar turut ditahan dalam serbuan di Bukit Rambai, Melaka semalam.

Dzulkhairi Mukhtar
Pemilik kilang haram itu sedang dikesan dan polis tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian syarikat lain dengan kilang terbabit, kata Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menyerbu sebuah kilang memproses barangan elektronik terpakai (e-waste) yang beroperasi secara haram di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka dan menyita 300 tan jongkong aluminium bernilai kira-kira RM2.1 juta.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, berkata mereka turut menahan 25 pekerja kilang terdiri daripada warga China, Bangladesh dan Myanmar dalam serbuan disertai
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pagi semalam.

Katanya, kilang terbabit dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu, berdasarkan risikan mereka seminggu lalu.

“Kilang ini dipercayai menjalankan kegiatan meleraikan dan melebur komponen elektronik untuk menghasilkan jongkong aluminium.

“Hasil serbuan sebanyak 300 jongkong aluminium setiap satunya seberat satu tan dirampas dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM2.1 juta.

“Turut dirampas bahan mentah seperti alat kawalan jauh dan komponen kamera litar tertutup (CCTV) yang belum diproses,” katanya pada sidang media, lapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, kilang terbabit dipercayai mengimport bahan elektronik berkenaan dari luar negara untuk diproses di sini sebelum dieksport semula ke China dan beberapa negara lain.

Menurutnya, polis sedang melakukan siasatan lanjut termasuk mengesan pemilik kilang selain tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian syarikat lain dengan kilang haram itu.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 55 (1)(b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.