
M Gopalan, 47, dan P Magaswari, 45, mendakwa kakitangan sekolah tidak bertindak pantas ketika insiden pada 27 Mei lalu, sebaliknya memilih untuk menunggu ambulans berbanding membawa anak mereka ke klinik atau hospital terdekat.
Dalam satu sidang media, Gopalan berkata jarak klinik terdekat hanya kira-kira dua minit perjalanan dari sekolah, manakala Hospital Tengku Ampuan Rahimah pula terletak kira-kira 15 minit perjalanan.
Menurutnya, kakitangan sekolah memaklumkan bahawa mereka tidak dapat membawa anaknya ke klinik atau hospital kerana prosedur operasi standard (SOP) memerlukan kehadiran ibu bapa.
Beliau turut mendakwa pihak sekolah tidak memberikan sebarang rawatan kecemasan sementara menunggu ketibaan ambulans dan tidak memberikan kerjasama apabila ditanya mengenai SOP tersebut.
“Anak saya sudah tiada. Kalau dia meninggal dunia kerana serangan jantung, saya mungkin boleh terima.
“Kalau pengetua atau guru kelas bertanya sama ada saya izinkan anak saya dibawa ke hospital, saya akan setuju,” katanya.
Kejadian itu dilaporkan berlaku semasa mangsa berada di dalam kelas bersama tiga pelajar lain pada waktu rehat. Salah seorang daripada mereka kemudian memaklumkan kepada guru bahawa mangsa rebah dan mulutnya berbuih selepas dipercayai meminum racun.
Magaswari berkata pada awalnya beliau dimaklumkan oleh seorang pelajar bahawa anaknya mengalami sakit perut, namun hanya mengetahui perkara sebenar sebaik tiba di sekolah.
“Pelajar yang telefon kata anak saya sakit perut teruk dan asyik panggil saya. Saya sangka dia kena gastrik, sebab itu saya bergegas ke sekolah,” katanya.
Ibu bapa mangsa dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah apabila ambulans yang dipanggil sekolah memintas kenderaan mereka dan membawa mangsa ke hospital. Namun mangsa meninggal dunia sebelum tiba di hospital.
Gopalan memaklumkan beliau membuat dua laporan polis. Satu terhadap enam kakitangan sekolah atas kecuaian dan dakwaan memusnahkan bukti, dan satu lagi terhadap tiga pelajar kerana didakwa memaksa anaknya meminum racun.
Beliau turut mendakwa pihak sekolah cuba menutup mulut saksi dan menghalang pelajar daripada bercakap mengenai kejadian tersebut.
Gopalan juga menggesa agar siasatan dijalankan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan peruntukan berkaitan dalam kanun keseksaan, termasuk bersubahat dalam bunuh diri, menyebabkan kematian akibat kecuaian, serta memusnahkan bukti.
Beliau turut mendesak polis menyiasat sumber racun tersebut, motif di sebalik kejadian, dan peranan setiap pelajar yang terlibat.
Keluarga mangsa juga menuntut satu inkues diadakan bagi menentukan punca kematian dan sama ada pihak sekolah telah gagal melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan pelajar.
Aktivis Arun Dorasamy yang membantu keluarga tersebut berkata pihak sekolah perlu mengakui bahawa kelewatan bertindak menyumbang kepada tragedi ini.
FMT menghubungi Kementerian Pendidikan dan polis Klang Utara untuk mendapatkan maklum balas.