Saya tak pernah kemuka calon kontroversi kepada Agong, kata Anwar

Saya tak pernah kemuka calon kontroversi kepada Agong, kata Anwar

Perdana menteri berkata Majlis Raja-Raja dijangka umum pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman esok sekali gus hapus persepsi negatif.

anwar ibrahim n sultan ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau mengadakan perbincangan panjang bersama Majlis Raja-Raja yang bersidang mulai hari ini sehingga Khamis. (Gambar Facebook Istana Negara)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong sebarang calon yang dianggap kontroversi bagi jawatan tertinggi dalam badan kehakiman.

Anwar berkata beliau mengadakan perbincangan panjang pagi tadi bersama Majlis Raja-Raja yang bersidang mulai hari ini hingga Khamis.

Katanya, satu pengumuman mengenai pelantikan tertinggi badan kehakiman mungkin akan dibuat esok sekali gus menolak semua persepsi negatif berkait isu itu.

“Azalina Othman Said (Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi) tahu perkara sebenar, Ketua Setiausaha Negara (Shamsul Azri Abu Bakar) juga tahu fakta itu.

“Tiada sebarang kes atau nama yang dipersoalkan atau dianggap kontroversi pernah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti Malaysia 2025 di sini.

Anwar berharap pengumuman yang bakal dibuat nanti akan membuktikan bahawa kerajaan pimpinannya komited terhadap reformasi institusi dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman.

Di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim-hakim tertinggi — termasuk ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan dan hakim besar Malaya — dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Awal minggu ini, Azalina berkata pelantikan ketua hakim negara baharu untuk mengetuai badan kehakiman hanya akan diputuskan selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan datang.

Beliau juga berkata syor daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berhubung pelantikan hakim-hakim baharu tidak mengikat.

Isu ini timbul susulan kelewatan pelantikan hakim-hakim kanan selepas persaraan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan, serta kekosongan jawatan yang bakal berlaku di mahkamah atasan.

Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim kini menjalankan tugas sebagai pemangku ketua hakim negara selepas persaraan Tengku Maimun Tuan Mat, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan, Zabariah Yusof bertindak sebagai pemangku presiden Mahkamah Rayuan selepas Abang Iskandar Abang Hashim bersara.

Satu dokumen yang didakwa mengandungi petikan minit mesyuarat JAC yang diadakan pada Mei lalu turut tular baru-baru ini, yang mendakwa Tengku Maimun membangkitkan isu berkaitan integriti seorang calon bagi jawatan pentadbiran dalam badan kehakiman.

Polis kini sedang menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat JAC di bawah Akta Rahsia Rasmi dan dua undang-undang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.