
Serbuan dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi pasukan petugas pelbagai agensi membabitkan Jabatan Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara di 19 lokasi sekitar Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor serta Kedah.
Operasi khas ‘Op Metal’ yang turut disertai anggota skuad taktikal antirasuah (ACTS) SPRM itu menyerbu enam lokasi di Pulau Pinang kelmarin, termasuk rumah, pejabat serta tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk dipercayai terbabit kegiatan itu.
Dalam serbuan pertama disertai Bernama di kawasan perumahan mewah di Batu Maung, dekat sini, pada 6 pagi Isnin, pasukan operasi menyerbu sebuah banglo tiga tingkat dipercayai kediaman seorang lelaki warga asing yang juga pemilik syarikat besi buruk.

Pasukan dimaklumkan lelaki itu berada di luar negara atas urusan perniagaan sejak dua hari lepas dan mendapati hanya isteri, anak dan seorang wanita warga emas dipercayai ibunya berada di rumah.
Pasukan menggeledah bagi mencari bahan bukti dan dokumen berkaitan aktiviti penyeludupan, manakala anggota ACTS memantau di dalam dan luar kediaman bagi memastikan operasi berjalan lancar.
Seterusnya pihak media dibawa menyertai serbuan ke atas tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam, dekat sini, pada 9 pagi, iaitu sebaik premis itu dibuka.
Anggota ACTS membuat pemeriksaan di keseluruhan premis dikelilingi zink dan menempatkan besi buruk dalam pelbagai bentuk, saiz dan jenis dipercayai untuk diproses sebelum dieksport ke luar negara.
Hampir 30 pekerja, termasuk yang bertugas di pejabat dikumpulkan sebelum pasukan operasi menjalankan pemeriksaan lanjut.
Kira-kira 15 minit kemudian, seorang lelaki mengaku pengurus premis itu tiba dan memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya, selain difahamkan beberapa dokumen turut dirampas.
Dalam pada itu, sumber memaklumkan tujuh serbuan di Selangor, empat di Kedah dan masing-masing satu di Negeri Sembilan serta Johor pula melibatkan pusat menyimpan dan memproses besi buruk, pejabat serta kediaman individu disyaki terbabit kegiatan berkenaan.
Sumber memaklumkan sindiket itu didapati menyeludup keluar besi untuk dieksport ke India, China dan beberapa negara lain, namun diikrarkan barangan jentera serta logam lain tidak dikenakan cukai eksport 15% seperti ditetapkan kerajaan.
“Bagi memastikan besi ini dapat melepasi pemeriksaan dan mengelak dikenakan cukai, sindiket itu dipercayai merasuah beberapa pegawai penguat kuasa.”
Sumber memberitahu tindakan pengawai penguat kuasa bersekongkol dengan sindiket itu menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai kira-kira RM160 juta setahun sejak enam tahun lalu atau keseluruhannya dianggarkan lebih RM950 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan serbuan di lima negeri itu membabitkan pengilang dan syarikat mengeksport besi ke luar negara.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Katanya, siasatan turut menumpukan untuk mengenal pasti individu terbabit, termasuk penjawat awam yang melindungi kegiatan itu.