Lelaki provokasi anggota DBKL guna parang ditahan

Lelaki provokasi anggota DBKL guna parang ditahan

Polis berkata kejadian berlaku ketika operasi merobohkan struktur haram di laluan pejalan kaki di Desa Pandan.

mengamuk
Video tular menunjukkan seorang lelaki memegang parang panjang melakukan provokasi terhadap anggota penguat kuasa DBKL.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki membuat provokasi sambil memegang sebilah parang panjang dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Polis Wangsa Maju Mohamad Lazim Ismail berkata kejadian berlaku ketika operasi bersepadu meroboh struktur haram di atas laluan pejalan kaki di Desa Pandan melibatkan DBKL, Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Bekalan Air Selangor, dan polis.

Katanya, pada 11.17 pagi seorang lelaki yang memegang sebilah parang panjang datang dan membuat provokasi terhadap anggota penguat kuasa yang bertugas.

“Lelaki itu turut melibas parang dan memaki hamun ke arah penguatkuasa DBKL sebelum ditenangkan beberapa orang awam.

“Susulan kejadian itu, polis menahan lelaki berusia 43 tahun itu untuk siasatan. Parang panjang milik suspek juga dirampas di sekitar kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Lazim berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan tugas.

Beliau juga menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dan menghentikan penularan kejadian ini di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.