
Karim menyifatkan Rafizi “ahli strategi politik pintar” dan pucuk pimpinan PKR tanpanya satu kerugian buat parti itu.
“Jika beliau bersama Anwar dan Nurul, saya rasa PKR akan jauh lebih kuat. Sedih kehilangan seseorang sebijaknya,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan daripada Jemaah Menteri dua bulan lalu, selepas tewas dalam pemilihan PKR. Rafizi kalah jawatan timbalan presiden kepada Nurul Izzah.
Minggu lalu, Rafizi dan lapan Ahli Parlimen PKR menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan campur tangan serta kelewatan dalam pelantikan badan kehakiman, termasuk jawatan ketua hakim negara.
Memetik kepercayaan orang ramai kian terhakis, beliau melancarkan petisyen dan berkata forum akan diadakan di seluruh negara mulai 13 Julai lalu di Kuala Lumpur serta Selangor.
Karim yang juga ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata, Rafizi memainkan peranan utama dalam kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
“Beliau membangunkan Invoke (Malaysia) dan antara individu membawa kepada kejatuhan BN pada 2018. Kehilangannya bukan sesuatu yang baik,” kata menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak itu.
Walaupun kritikan terhadap kerajaan baru-baru ini mempunyai asas, beliau berkata, perubahan pendirian Rafizi sejak melepaskan jawatan dalam kerajaan menimbulkan tanda tanya.
“Ketika dalam kerajaan, sudah pasti beliau tidak kata apa-apa yang buruk tentang kerajaan. Tetapi sekarang beliau tidak lagi (berada dalam Jemaah Menteri), beliau mula kelihatan seperti Rafizi yang dulu.”
Menurutnya, PKR sepatutnya berusaha mengurangkan perselisihan dalam parti.
“Keadaan dalam PKR sepatutnya diuruskan lebih baik. Dalam politik, anda tidak boleh mempunyai terlalu banyak konflik.”
Katanya, pengkritik Anwar pasti “gembira” jika berlaku cabaran dalaman terhadap kepimpinannya, tetapi hakikatnya rakyat Malaysia mahukan tadbir urus baik, kepimpinan bersih dan reformasi institusi.
“Apa yang Malaysia mahu lihat adalah parti pemerintah – PKR, DAP, Umno dan lain-lain – menjadi kerajaan baik. Mereka mahukan kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya. Mereka mahu kerajaan yang bersih dalam setiap aspek.”
Karim mengakui banyak rasuah berlaku ketika Umno berkuasa.
“Tetapi anda mesti dilihat mampu mengurangkan masalah ini – sama ada dalam badan kehakiman, polis atau kementerian tertentu. Saya percaya ini yang mahu dilihat seluruh rakyat Malaysia.”