
Walaupun beliau sentiasa menikmati masa di sana, ada satu realiti yang sukar diabaikan.
Di sebalik keindahannya, kampung terletak 160km dari Kota Kinabalu dan hanya boleh diakses melalui bot — telah lama berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih.
Seramai 220 penduduknya yang majoriti nelayan, bergantung kepada Sungai Labuk untuk mandi dan keperluan harian lain, namun air sungai itu tidak sesuai diminum.

Ketiadaan sistem kumbahan sempurna menyebabkan penduduk terpaksa membuang sisa ke dalam sungai atau menanamnya dalam tanah.
Mereka juga perlu menaiki bot selama sejam ke pekan Beluran semata-mata untuk membeli air minuman.
Kini, Lina percaya beliau telah menemui penyelesaian kepada masalah berdekad itu — iaitu memperkenalkan tandas biogas.
Biogas ialah gas metana dihasilkan daripada pereputan bahan buangan organik, iaitu sumber tenaga boleh diperbaharui dan mampan.
Apa yang diperlukan hanyalah menaik taraf tandas sedia ada di kampung — sama ada yang dikongsi atau milik individu — dengan memasang biodigester, iaitu bekas tertutup mengumpul dan menyimpan sisa manusia serta membenarkannya mereput secara selamat.
Gas biogas yang terhasil boleh digunakan sebagai tenaga, manakala sisa pepejal boleh dijadikan baja.
Proses ini secara signifikan akan mengurangkan jumlah sisa dibuang ke dalam sungai, kata Lina.
“Apabila MYbiogas memberitahu saya mengenai projek mereka, saya terfikir betapa sesuainya ia untuk Kampung Bukit Besi,” katanya kepada FMT, merujuk kepada organisasi tidak berasaskan kepada keuntungan yang melengkapkan komuniti dengan biodigester.
Biogas, katanya, boleh digunakan sebagai gas memasak — sesuatu yang boleh mengubah kehidupan di kampung itu, memandangkan tong gas yang mahal dan sukar dibawa dari pekan terdekat.
Dengan kebanyakan isi rumah masih menggunakan dapur kayu, biogas menawarkan alternatif yang lebih bersih dan mudah diakses.
“Ia juga cukup baik untuk menggantikan diesel yang digunakan dalam set generator. Kampung ini telah menggunakan generator sejak saya kecil lagi,” kata Lina, pengasas NGO tempatan Beluran Hope.
Kedua-dua organisasi itu kini berganding bahu melancarkan inisiatif tandas biogas di Kampung Bukit Besi, dengan sistem pertama akan dipasang di rumah ketua kampung.
Menjelaskan peranan kedua-dua organisasi, Lina berkata MYbiogas menyumbang kepakaran teknikal bagi pemasangan sistem tersebut.
Beluran Hope pula bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan di lapangan, termasuk mengurus logistik dan mendapatkan bahan binaan.
Projek itu dibiayai melalui sumbangan orang ramai dan setakat ini mereka telah berjaya mengumpul separuh daripada sasaran RM10,000.
Lina berkata NGO itu perlu menggunakan tongkang untuk mengangkut bahan binaan diperlukan yang boleh dikatakan agak mahal.
Cabaran lain, katanya, ialah mendapatkan tenaga kerja yang mencukupi kerana sukar bagi mereka dari tanah besar untuk datang ke kampung itu.
Namun begitu, Lina berharap kejayaan projek perintis itu akan menarik perhatian penderma korporat dan individu.
“Saya harap tandas biogas ini dapat membekalkan tenaga elektrik percuma kepada penduduk kampung dan meringankan beban mereka daripada membeli diesel.
“Inilah kehidupan yang tidak sepatutnya ditanggung oleh rakyat Malaysia. Sangat menyedihkan apabila ada yang masih perlu hidup dalam keadaan begini.”
Untuk menyumbang kepada usaha ini, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke MYbiogas Enterprise melalui nombor akaun 5624 0570 3759 (Maybank).