Pesara, pegawai PBT disyaki terima rasuah RM70,000 direman

Pesara, pegawai PBT disyaki terima rasuah RM70,000 direman

Suspek lelaki dan wanita dipercayai menerima rasuah untuk permudah proses kelulusan permit ubah suai rumah di Perlis.

macc sprm
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan reman pesara pembantu penguat kuasa dan penolong pegawai seni bina di PBT di Perlis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM70,000.
KANGAR:
Seorang pesara pembantu penguat kuasa dan penolong pegawai seni bina di pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perlis direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM70,000.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, perintah reman terhadap lelaki dan wanita masing-masing berusia 61 dan 37 tahun itu, dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan kira-kira 1.30 tengah hari ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Perlis, semalam.

Menurut sumber, dua individu terbabit disyaki meminta dan menerima rasuah RM300 hingga RM9,000 daripada pemohon sebagai balasan memudahkan proses kelulusan permit ubah suai rumah di sekitar negeri itu bagi tempoh 2022 hingga 2024.

“Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada pemohon-pemohon melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi suspek lelaki, yang kemudiannya dikongsikan bersama suspek wanita,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.