Usaha gugat kedudukan PM tak berkesan, kata Kamil

Usaha gugat kedudukan PM tak berkesan, kata Kamil

Ketua Pemuda PKR berkata himpunan didalangi pembangkang tidak mudah mempengaruhi rakyat.

Ketua Pemuda PKR Kamil Munim, berkata perdana menteri mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam kerajaan Madani.
PETALING JAYA:
Kedudukan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kukuh dan tidak akan terjejas oleh sebarang usaha untuk menggugatnya termasuk mengadakan perhimpunan.

Ketua Pemuda PKR Kamil Munim, berkata perdana menteri mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam kerajaan Madani.

“Usaha menggugat kedudukan perdana menteri melalui himpunan juga tidak memberi kesan terhadap kestabilan politik semasa, selain tiada hala tuju yang jelas.

“Ia lebih bersifat menangguk di air keruh dan hanya mencetuskan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan rakyat tanpa menawarkan sebarang penyelesaian,” katanya menurut Bernama pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah Madani Parlimen Tambun di pekarangan Masjid Al-Amin, Ipoh, malam tadi.

Kamil yang juga setiausaha politik kepada menteri kewangan, berkata pihaknya yakin rakyat semakin bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan himpunan didalangi pemimpin pembangkang.

“Bagaimanapun, kami tetap menjunjung prinsip demokrasi dan tidak menghalang hak mereka untuk berkumpul seperti yang dijamin Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan kini lebih menumpukan usaha menstabilkan kos sara hidup, memperkukuh keyakinan pelabur serta memastikan penyampaian dasar dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.