BN tanding solo PRN Melaka langkah strategik, kata penganalisis

BN tanding solo PRN Melaka langkah strategik, kata penganalisis

Awang Azman Pawi berkata untuk memastikan langkah itu berjaya, BN perlu tangani persepsi pengundi dan berdiplomasi dengan PH.

bendera bn bernama-080924-1
Sabtu lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dilaporkan berkata BN mungkin bertanding solo pada PRN Melaka yang dijangka berlangsung tahun depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cadangan Barisan Nasional (BN) bertanding solo di negeri dikuasainya seperti di Melaka dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di negeri lain pada pilihan raya akan datang disifatkan penganalisis langkah strategik jika dirancang dengan teliti.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, pendekatan fleksibel mengikut landskap politik setempat itu boleh berjaya sekiranya BN dapat menangani persepsi pengundi dan berdiplomasi dengan PH di peringkat pusat.

Menerusi pendekatan itu, katanya, BN boleh bertanding solo di negeri ia kuat seperti di Melaka dan Johor, serta bekerjasama di negeri yang mana PH atau Perikatan Nasional lebih dominan seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Untuk menjayakan strategi ini, BN perlu menjelaskan pendirian parti itu secara terbuka supaya rakyat memahami isu sebenar yang mendorong pendekatan berbeza digunakan di negeri tertentu.

“Pada masa sama, dialog strategik antara BN-PH juga perlu dipertingkatkan bagi tujuan penyelarasan tindakan agar kestabilan kerajaan perpaduan tidak tergugat,” katanya kepada FMT.

“Risiko besar jika gagal diurus kerana pendekatan ‘berkawan di pusat, berlawan di negeri’ boleh dilihat sebagai hipokrit, sekaligus menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap integriti BN.”

Awang Azman juga berkata, langkah itu mungkin berisiko menyebabkan parti komponen PH, khususnya DAP dan PKR rasa dikhianati lalu menjejaskan semangat kerjasama dalam kerajaan pusat.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, BN mungkin bergerak solo pada PRN Melaka yang dijangka berlangsung tahun depan.

Katanya, kajian mendalam akan dilakukan terlebih dahulu memandangkan situasi dan formula politik berbeza mengikut negeri.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, tidak menghairankan BN bergerak solo pada PRN Melaka, yang disifatkannya satu bentuk ‘gertakan’ kepada Amanah dan PH.

Amanah sebelum ini menuntut pengagihan kerusi sama rata pada PRN Melaka, termasuk beberapa kerusi kini disandang Umno.

Menurut Azmi, formula dicapai menerusi kerjasama BN-PH sebelum ini ialah penyandang kerusi diberi hak bertanding dan Amanah tidak sepatutnya berlebih-lebih dalam menuntut kerusi.

“Di Melaka, penyandangnya BN yang menang 21 kerusi pada PRN lepas. Seharusnya ia ‘dipegang’ BN dan dipersetujui PH.

“Saya bimbang Amanah dijadikan ‘proxy’ untuk memaksa BN (tanding solo).”

Minggu lalu, media melaporkan Amanah Hang Tuah Jaya dalam mesyuarat tahunan bahagian itu meluluskan resolusi menggesa PH sedia bertanding solo.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dalam video di Facebook menyuarakan kesediaan BN menentang PH, yang merupakan sekutunya di peringkat pusat dan Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.