
Difahamkan, antara dipertimbangkan adalah Hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi dan Nazlan Ghazali, yang sebelum ini beberapa kali telah dipinjam untuk bersidang sebagai panel hakim di Mahkamah Persekutuan.
Dalam pada itu, enam hakim Mahkamah Persekutuan dipercayai sedang dipertimbang mengisi jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan. Difahamkan mereka terdiri Hakim Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan, Abu Bakar Jais, Vazeer Alam Mydin Meera, Ahmad Terrirudin Salleh (bekas peguam negara), dan Lee Swee Seng.
Sumber memberitahu FMT, kenaikan pangkat lima hakim Mahkamah Rayuan — dengan seorang atau dua daripadanya dijangka mengisi jawatan pentadbiran dalam institusi kehakiman dalam masa terdekat — merupakan antara opsyen bagi mengisi kekosongan di Mahkamah Persekutuan, selain daripada pilihan menerima pakai syor dikemukakan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).
Lima hakim Mahkamah Rayuan yang sedang dipertimbangkan itu telah melalui laluan kerjaya kehakiman secara bertahap dan memiliki lebih 10 tahun pengalaman, termasuk mengetuai prosiding kes jenayah dan sivil.
Antara mereka termasuk yang dilantik hakim daripada perkhidmatan perundangan (Jabatan Peguam Negara) serta peguam terlebih dulu dilantik pesuruhjaya kehakiman, sebelum disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi dan kemudiannya dinaikkan ke Mahkamah Rayuan.
Lima kekosongan di Mahkamah Persekutuan berlaku susulan persaraan Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim; serta hakim Mahkamah Persekutuan, Harmindar Singh Dhaliwal dan Abdul Karim Abdul Jalil. Sementara itu, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, dijadualkan bersara pada 24 Julai ini.
Fungsi ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan ketika ini masing-masing dipangku Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof.
Sumber perundangan memberitahu FMT, pelantikan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan yang baharu berkemungkinan dibuat oleh kerajaan berdasarkan syor dikemuka SPK, dipengerusikan Tengku Maimun.
Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak terikat menuruti syor bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong berkait pelantikan berkenaan, kata sumber itu.
Dalam perkembangan berasingan, peguam A Srimurugan berkata orang awam dan komuniti perundangan mahukan pihak berkuasa melantik calon hakim berwibawa dan berintegriti tinggi, memandangkan mereka merupakan pelindung Perlembagaan dan penegak kedaulatan undang-undang.
“Antara kriteria utama adalah kemampuan mengemukakan penghakiman yang berpandangan jauh, memandangkan setiap penghakiman akan menjadi duluan dan berperanan seperti undang-undang wajib dipatuhi mahkamah bawahan,” katanya kepada FMT.
Peguam lain, Syed Iskandar Syed Jaafar, berkata perdana menteri juga wajar mempertimbangkan syor dikemuka SPK, berpandukan kriteria seperti integriti, kecekapan, dan pengalaman mencukupi, kebolehan mengeluarkan penghakiman dalam tempoh munasabah serta berkemahiran dalam penulisan undang-undang yang baik.
“Perdana menteri juga perlu bersikap telus dan bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia, yang berhak mendapat calon terbaik menerajui badan kehakiman,” kata Syed Iskandar.