Jepun beralih kepada keselamatan serantau berlapis diterajui Asean

Jepun beralih kepada keselamatan serantau berlapis diterajui Asean

Kementerian Luar Jepun menyatakan Asean kekal sebagai kunci kestabilan di tengah-tengah perbincangan mengenai rangka kerja pertahanan serantau yang lebih luas.

Takeshi Iwaya
Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya, baru-baru ini berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan Asean bersama rakan sejawatannya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jepun kini mengamalkan strategi keselamatan ‘berlapis’ di Indo-Pasifik sambil terus menyokong kukuh peranan pusat Asean, menurut seorang pegawai Kementerian Luar negara itu.

Setiausaha akhbar kementerian Kitamura Toshihiro berkata idea pakatan ala-NATO untuk Asia bukan lagi menjadi tumpuan dasar luar Jepun. Idea itu pernah dibangkitkan September tahun lalu oleh Presiden Parti Demokratik Liberal, Shigeru Ishiba, sebelum beliau menjadi perdana menteri.

“Memandangkan di Asia tiada susunan keselamatan pelbagai hala, beliau percaya suatu bentuk payung keselamatan diperlukan. Tetapi perkara ini perlu diteliti,” katanya dalam temu bual bersama FMT semasa mesyuarat menteri-menteri luar Asean di Kuala Lumpur yang berakhir pada Jumaat.

Ditanya sama ada satu platform keselamatan pelbagai hala baharu diperlukan, Toshihiro berkata Sidang Kemuncak Asia Timur diterajui Asean sudahpun menyediakan ruang baik untuk pertukaran terbuka, terutamanya ketika ketegangan serantau dan global semakin meningkat.

“Pesertanya merangkumi kedua-dua pihak — bukan sahaja Jepun dan Amerika Syarikat, tetapi juga Rusia dan China,” katanya.

Toshihiro berkata Jepun kini sedang melaksanakan pendekatan berlapis yang berteraskan pakatan dengan Amerika Syarikat dan disokong oleh rangka kerja seperti Quad (kumpulan keselamatan empat hala tidak rasmi yang melibatkan Australia, Jepun, India dan Amerika Syarikat), dialog trilateral serta platform diterajui Asean.

“Bagi Jepun, AS ialah sekutu. Selain itu, kami mengadakan dua mesyuarat trilateral di bawah naungan Asean (antara AS-Jepun-Korea Selatan dan AS-Jepun-Filipina). Melalui rangka ini, kami cuba meneroka kerjasama selanjutnya,” katanya.

Bantuan keselamatan yang lebih meluas

Toshihiro turut menegaskan sokongan berterusan Jepun terhadap konsensus lima perkara Asean mengenai Myanmar dan menghargai kepimpinan Asean dalam isu-isu di luar keselamatan tradisional.

“Pencegahan bencana dan bantuan kemanusiaan merupakan salah satu bidang di mana Jepun ingin memperdalamkan kerjasama dengan Asean,” katanya, merujuk kepada perbincangan yang sedang berlangsung dalam kumpulan Asean+3 yang merangkumi China, Jepun dan Korea Selatan.

Beliau berkata Jepun melihat keselamatan Asia dan Eropah semakin saling berkaitan, khususnya susulan perang di Ukraine dan kesannya terhadap rantaian bekalan global.

“Kami sering menyampaikan mesej kepada rakan-rakan kami di negara-negara Eropah bahawa keselamatan Atlantik dan Eropah tidak boleh dipisahkan daripada keselamatan Asia,” katanya.

Walaupun perlembagaan Jepun melarang eksport senjata maut, Tokyo telah menyokong Ukraine dengan bantuan bukan bersenjata termasuk dron dan sistem radar anti-udara, serta bekerjasama dengan Kemboja dalam usaha pembersihan ranjau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.