
Timbalan Setiausaha Agung Armizan Mohd Ali secara peribadi berterima kasih kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang membuat kenyataan itu kerana gabungan terbabit tidak lagi perlu menjelaskan hakikat tiada cadangan kerjasama di antara kedua-dua parti.
Menurutnya, GRS tidak perlu membuat kenyataan menolak kerjasama dengan pihak-pihak tertentu yang akan mengambarkan keangkuhan dan kesombongannya.
“Setakat ini urusan kita lebih mudah, tanpa kita minta, BN Sabah dan terkini PN telah menyatakan pendirian menolak GRS.
“Kita jalan terus dan paling penting ikhtiar mendapatkan sokongan rakyat, bukannya mana-mana blok gabungan lain,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, Muhyiddin dilaporkan media berkata PN menolak kerjasama dengan GRS pada PRN Sabah dengan alasan tindakan komponen itu keluar PN sebelum ini.
Armizan turut merujuk ucapan pemimpin PN seperti ‘mereka telah mengangkat Hajiji Noor sebagai ketua menteri’ dan kononnya mahu merintis perubahan dalam politik Sabah.
“Berada dalam gabungan dan parti nasional, pasti akan ada sentimen sebegitu. Ini kerana untuk menjadi calon pilihan raya, pilihan dan watikah dikeluarkan pimpinan dari Semenanjung Malaysia.
“Calon ketua Menteri pula daripada ketua pimpinan di negeri yang dilantik oleh juga pimpinan dari Semenanjung Malaysia. Maka, siapa juga dipilih dituntut untuk setia dan patuh kepada pimpinan utama parti di sana,” kata Ahli Parlimen Papar itu.
Namun Armizan menekankan keadaan itu berbeza dengan parti tempatan yang calonnya diputuskan dan watikah dikeluarkan oleh pemimpin dari Sabah, begitu juga jawatan seperti ketua menteri.
“Ke depan kita tidak mahu pihak di sana menganggap merekalah tuan dan ‘master’ kerana mereka menentukan siapa pemimpin Sabah.
“Sudah tiba masa kita hantar isyarat bahawa tuan bukan dari sana tetapi di sini, tuan mutlak adalah rakyat Sabah,” katanya yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.