Usanita mahu tembus pasaran Australasia, bermula di New Zealand

Usanita mahu tembus pasaran Australasia, bermula di New Zealand

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki berkata Usanita menjadi platform dinamik pacu penyertaan wanita dalam ekonomi rentas sempadan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki (dua kiri) bersama CEO Usanita Adzliana Hasan (dua kanan) pada Majlis Prapelancaran Bridge to Brilliance 4.0 Australasia di Hotel Park Hyatt Auckland, New Zealand.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand menyokong penuh misi Usanita Group memperkasa usahawan wanita negara menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di rantau Australasia.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki, menyifatkan Usanita sebagai platform dinamik berperanan memacu penyertaan wanita dalam ekonomi rentas sempadan.

“Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand menyokong pelaksanaan program strategik oleh Usanita di New Zealand yang mencerminkan kekuatan Malaysia dalam bidang keusahawanan, budaya, dan diplomasi ekonomi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Prapelancaran Bridge to Brilliance (BtB) 4.0: Australasia, di Hotel Park Hyatt Auckland, New Zealand.

Program BtB adalah inisiatif berimpak tinggi Usanita bagi memperkasa usahawan Malaysia khususnya wanita dan golongan B40.

Antara program BtB 4.0 bakal dilaksanakan Usanita termasuk pertunjukan fesyen warisan tradisional Malaysia sempena Hari Malaysia di Wellington, September ini.

Selain itu, kempen ‘Taste of Malaysia’ akan turut dianjurkan bagi mempromosikan produk halal usahawan Malaysia, manakala tayangan filem dan filem pendek hasil karya pelajar Malaysia pula dibuat sebagai manifestasi diplomasi budaya Malaysia yang inklusif.

Mazita berkata, kerjasama strategik itu bertepatan peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean 2025 dan sempena Sambutan Hari Malaysia ke-62.

Kolaborasi bersama Usanita itu juga diyakini mampu memperkukuh lagi citra Malaysia dalam platform serantau dan antarabangsa.

“Hubungan dua hala Malaysia–New Zealand semakin kukuh hasil lawatan rasmi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon ke Malaysia pada September 2024 yang membuka ruang kerjasama dalam bidang perdagangan, inovasi, kelestarian dan hubungan rakyat dengan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Adzliana Hasan, menyifatkan sokongan Suruhanjaya Tinggi New Zealand sebagai pengiktirafan rasmi terhadap potensi wanita Malaysia dalam bidang diplomasi ekonomi.

“Ini bukan sekadar galakan moral, tetapi tanda kepercayaan terhadap peranan wanita sebagai pemacu diplomasi budaya dan ekonomi.

“BtB 4.0: Australasia bakal menjadi pelopor kepada era baharu keterlibatan wanita Malaysia di pasaran global khususnya di New Zealand dan Australia,” katanya.

Katanya, inisiatif BtB 4.0 sudah bermula di New Zealand dengan penghasilan dua telemovie oleh Usanita berjudul; ‘Poskad Cinta Dari Auckland’ dan ‘Saling Tak Terlihat’.

“Penggambaran untuk dua telemovie yang berlangsung di sekitar Auckland akan selesai pada pertengahan bulan ini, manakala penggambaran filem bertajuk ‘Nafs’ terbitan Usanita, hasil karya pengarah, pelakon dan penulis skrip Erma Fatima akan dibuat di New Zealand September depan.”

Fasa pertama dan kedua BtB yang meneroka peluang di Indonesia dilancarkan pada 2022 dan 2023.

Fasa ketiga BtB berlangsung di United Kingdom awal tahun ini melakar sejarah apabila Usanita menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Said Business School, Universiti Oxford bagi penyediaan pendidikan eksekutif bertaraf dunia.

“Program BtN 4.0: Australasia juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh agenda inklusif serantau sempena Kepengerusian Asean-Malaysia 2025”, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.