PM umum peruntukan RM1 juta untuk KLFA

PM umum peruntukan RM1 juta untuk KLFA

Anwar Ibrahim berkata kerajaan sentiasa menggalakkan pembangunan bola sepak yang dianggap sebagai sukan rakyat.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menegaskan kepentingan menjaga budaya sukan, terutamanya tingkah laku penyokong yang kadangkala sukar dikawal hingga mencemarkan semangat perpaduan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi menyokong pembangunan semula sukan bola sepak di ibu negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata penambahbaikan prasarana harus menjadi aspek utama dalam memajukan sukan itu dan kerajaan sentiasa menggalakkan pembangunan bola sepak yang dianggap sebagai sukan rakyat.

“Ini satu kesempatan bagi kita mengangkat martabat bola sepak tanah air, tetapi ia bermula daripada asas. Sebab itu, apa yang diutarakan tadi tentang kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi atau institut-institut latihan yang lain, itu penting.

“Ia bukan sekadar soal dana semata-mata, tetapi juga meliputi kemudahan padang, pusat latihan serta akademi yang lengkap supaya anak-anak dapat dilatih dengan baik dan selesa,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun KLFA hari ini, lapor Bernama.

Hadir sama Menteri Komunikasi merangkap penaung KLFA Fahmi Fadzil dan Presiden KLFA Syed Yazid Syed Omar.

Sempena majlis itu, KLFA turut mengumumkan beberapa inisiatif strategik termasuk kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam pembangunan bola sepak di peringkat sekolah serta Kementerian Belia dan Sukan bagi melatih jurulatih dan memperkasakan program pembangunan belia.

Dalam pada itu, dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan kepentingan menjaga budaya sukan, terutamanya tingkah laku penyokong yang kadangkala bertindak di luar batas sehingga mencemarkan semangat perpaduan.

Justeru katanya, beliau telah mengarahkan polis untuk memantau serta mengawal sebarang insiden yang boleh menjejaskan imej bola sepak negara, sejajar dengan matlamat bersukan sebagai gaya hidup sihat dan medium perpaduan.

“Terdapat gerombolan penyokong-penyokong itu kadangkala tidak terkawal….Kalau kalah, tidak semestinya dicerca.

“Kalau yang bertarung itu sudah bekerja sedaya upaya, kita harus menang, kita mesti menang tetapi jangan cerca orang yang kalah. Ini budaya budaya bangsa kita. Ia adalah budaya yang diimport… hooliganism,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.