Tiada kerja syif 45 jam untuk 82,637 petugas kesihatan, kata JPA

Tiada kerja syif 45 jam untuk 82,637 petugas kesihatan, kata JPA

Kerajaan membuat keputusan itu susulan kebimbangan disuarakan petugas kesihatan mengenai beban kerja dan keperluan operasi semasa.

jururawat nurse
Pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu sebelum ini cetus kebimbangan petugas barisan hadapan bidang kesihatan awam.
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju memberikan pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu bagi petugas kesihatan dalam lima skim perkhidmatan kritikal di Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam satu kenyataan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata keputusan itu dibuat susulan kebimbangan yang disuarakan petugas kesihatan mengenai beban kerja dan keperluan operasi semasa.

Pengecualian melibatkan seramai 82,637 petugas kesihatan yang terdiri daripada jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan, katanya.

“Ini khususnya melibatkan mereka yang berkhidmat secara langsung dalam menyelamatkan nyawa pesakit tanpa mengira masa.

“Kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap kebimbangan tersebut, dan setelah penelitian mendalam, kerajaan bersetuju agar waktu bekerja ditetapkan kepada 42 jam seminggu bagi petugas-petugas kesihatan yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, JPA berkata pengecualian itu juga adalah selaras dengan aspirasi Malaysia yang mengutamakan nilai ihsan dan kebajikan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan penjawat awam.

“Kerajaan Madani komited untuk terus mendengar dan mengambil tindakan terhadap suara serta kebajikan petugas kesihatan yang menjadi tunjang sistem kesihatan negara,” katanya.

Pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan petugas barisan hadapan, khususnya mereka yang terlibat dengan syif panjang dan tugasan kritikal.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dipetik berkata KKM akan memohon moratorium pelaksanaan waktu bekerja 45 jam ini dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.