
Dalam podcast dihoskan wartawan Amin Iskandar semalam, Ti berkata, MCA boleh menunjukkan prestasi baik di kawasan majoriti Melayu, khasnya jika menentang DAP.
Ini kerana, kata ketua MCA Kuantan itu, Umno bergantung kepada DAP kerana MCA kekurangan kerusi di Parlimen.
“Jika MCA menentang DAP di Pahang hari ini, kita akan menang banyak kerusi,” katanya sambil memberi contoh PRK Balakong pada 2018, di mana MCA tewas kerana kawasan itu kubu kuat DAP.
Calon DAP, Wong Siew Ki menang PRK Balakong dengan 22,508 undi berbanding calon MCA, Tan Chee Teong yang hanya mendapat 3,975 undi.
“Ada kerusi mempunyai ramai pengundi Melayu, di mana saya rasa kita boleh menang undi Melayu jika bertanding bawah (logo) MCA.
“Jika kita menentang DAP, katakan di Raub, majoriti undi Melayu akan ke MCA.”
Mei lalu, Ti memberitahu FMT, ahli MCA berpandangan Umno memihak kepada DAP.
“Nampaknya MCA diketepikan dan melakukan apa yang perlu untuk terus bertahan.”
Beliau berkata, daya tarikan MCA dalam kalangan orang Melayu lebih kuat daripada DAP akibat syak wasangka selama bertahun-tahun terhadap parti komponen Pakatan Harapan itu.
“Umno dan orang Melayu juga lebih selesa dengan MCA. Kami tidak menanam kebencian.”
Ti berkata, sentimen anti-Umno yang pernah mendorong pengundi Cina ke arah DAP sudah pudar.
“Pengundi mungkin memberi undi mereka kepada MCA, bukannya Perikatan Nasional kerana MCA dilihat lebih akomodatif dan ikhlas.
“Kami tidak berbohong atau beri janji kosong. Itu bezanya. Dari segi kredibiliti, keupayaan, kesetiaan dan keikhlasan, kami ada lebih banyak daripada DAP.”