Keputusan rayuan rujukan perlembagaan Naimah 12 Ogos

Keputusan rayuan rujukan perlembagaan Naimah 12 Ogos

Naimah Khalid mahu Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan sama ada pertuduhan dihadapinya melanggar haknya untuk tidak membebankan dirinya dan perbicaraan yang adil.

naimah khalid
Naimah Khalid didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan syarikat, beberapa bidang tanah dan dua kenderaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 12 Ogos untuk menyampaikan keputusannya berhubung rayuan Naimah Khalid terhadap keengganan mahkamah rendah untuk merujuk persoalan perlembagaan berhubung keabsahan pertuduhan pengisytiharan asetnya kepada Mahkamah Persekutuan.

Hakim K Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan peguam Naimah, Gurdial Singh Nijar.

Naimah, balu Allahyarham Daim Zainuddin, mohon dibicarakan di mahkamah sesyen tahun lepas atas pertuduhan gagal mematuhi terma notis pengisytiharan aset yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana gagal mengisytiharkan pemilikan syarikat, beberapa bidang tanah di sini dan di Pulau Pinang serta dua kenderaan.

Dalam permohonan rujukannya, dia mendakwa Seksyen 30(5) Akta itu melanggar haknya untuk tidak membebankan dirinya dan perbicaraan yang adil.

Seksyen 30(5) memperuntukkan bahawa orang yang dikeluarkan notis adalah terikat di sisi undang-undang untuk mendedahkan dengan jujur semua maklumat dalam pengetahuan mereka, tersedia untuk mereka atau boleh diperolehi oleh mereka.

Mahkamah sesyen menolak permohonannya awal tahun ini.

Awal hari ini, Law memberitahu mahkamah bahawa Seksyen 30(5) adalah kukuh dari segi undang-undang, dengan alasan bahawa peruntukan itu direka untuk memaksa individu yang membantu dalam penyiasatan berkaitan rasuah untuk ‘memberitahu kebenaran’.

Beliau menambah bahawa Naimah – yang dipanggil sebagai saksi dalam siasatan terhadap Daim – tidak mempunyai hak ‘untuk berdiam diri’ semasa menjalankan siasatan SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.