PM ada konflik kepentingan lantik hakim kerana kes sivil, kata Hamzah

PM ada konflik kepentingan lantik hakim kerana kes sivil, kata Hamzah

Ketua pembangkang itu juga menggesa perdana menteri interim dilantik untuk menjalankan tanggungjawab.

Hamzah Zainudin
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata timbul rasa curiga tentang wujudnya campur tangan politik dalam soal pelantikan hakim kerana perdana menteri ada kes sivil di mahkamah.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai konflik kepentingan berhubung peranannya dalam pelantikan hakim-hakim tertinggi susulan kes sivil beliau yang masih belum selesai di mahkamah.

Hamzah berkata keadaan ini menimbulkan rasa curiga tentang wujudnya campur tangan politik dalam soal pelantikan hakim.

Beliau merujuk kepada permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada tindakan sivil sebagai perdana menteri.

“Sehubungan itu, disarankan agar perdana menteri mengambil cuti dan seorang perdana menteri interim dilantik untuk menjalankan tanggungjawab, khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

“Ini akan menghilangkan prejudis terhadap proses pelantikan hakim dan persepsi umum yang mengaitkan perdana menteri terlibat menentukan hakim-hakim yang akan membicarakan kes beliau,” kata timbalan presiden Bersatu itu dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa langkah tersebut penting demi menjaga integriti, kebebasan dan kemuliaan institusi kehakiman negara.

Sebelum ini, terdapat gesaan agar siasatan dilakukan melalui suruhanjaya siasatan diraja dan pendengaran jawatankuasa Parlimen berhubung kelewatan pelantikan ke jawatan kehakiman tertinggi, termasuk ketua hakim negara.

Ketua Hakim Malaya Hasnah Hashim kini menjalankan tugas sebagai pemangku ketua hakim negara selepas persaraan Tengku Maimun Tuan Mat, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof pula memangku jawatan presiden Mahkamah Rayuan susulan persaraan Abang Iskandar Abang Hashim minggu lalu.

Terdahulu hari ini, Istana Negara menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan, dengan menegaskan bahawa pelantikan sedemikian perlu ditangani secara cermat dan integriti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.