
Hakim K Muniandy menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Norakmal Hassan, 46, Mohd Azwan Jamaludin, 42, Dody Junaidi, 47, Mohamad Sufian Saly, 28, Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54, dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 28, selepas mereka mengaku bersalah atas tuduhan pilihan melarikan dan mengurung mangsa.
Mahkamah memerintahkan Norakmal, Sufian serta Al Hatim menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 29 Sept 2022 manakala Tengku Hazarul dan Azwan masing-masing pada 11 Okt 2022 dan 14 Dis 2023.
Mereka didakwa bersama-sama melarikan secara paksa seorang lelaki Palestin berusia 31 tahun dengan niat supaya individu itu dikurung secara rahsia dan salah di Jalan Mayang, Dang Wangi pada 10.40 malam, 28 Sept 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, lelaki Palestin itu dilarikan dan dikurung di sebuah chalet di Hulu Langat sebelum polis membuat serbuan berpandukan maklumat yang diperoleh dan menjumpai mangsa dengan keadaan tangan serta kakinya diikat menggunakan pengikat kabel.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad memohon supaya semua tertuduh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun, mengambil kira kesalahan dilakukan mereka memberikan kesan buruk kepada negara.
“Sebelum ini, semua tertuduh didakwa atas pertuduhan menculik, namun representasi mereka telah diterima. Mereka seharusnya bersyukur kerana pertuduhan pilihan ditawarkan kepada mereka.
“Tertuduh-tertuduh telah direman selama dua hingga tiga tahun. Oleh itu, mohon hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun,” katanya yang mengendalikan kes bersama Mohd Sabri Othman.
Peguam Norma Goh Kim Lian yang mewakili Norakmal, Azwan, Dody, Sufian dan Tengku Hazarul memohon hukuman penjara minimum atas alasan anak guamnya telah insaf selain mempunyai tanggungan keluarga.
“Dalam kes ini, anak guam kami tidak mendapat faedah serta manfaat daripada perbuatan yang dilakukan. Mereka juga tiada rekod kesalahan lampau dan sentiasa memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa,” katanya.
Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Al Hatim turut memohon hukuman penjara minimum kerana anak guamnya telah menyesal dan memohon maaf selain dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Sementara itu, kes culik mangsa sama yang dihadapi lapan lagi tertuduh, iaitu Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 44, Mohamad Naziree Mustapha, 44, Faizull Hardey Mohd Isa, 45, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 30, Mohd Zaidi Mohd Zain, 59, Nidarahayu Zainal, 39, Raibafie Amdan, 44, dan Edy Ko’im Said, 45, diteruskan dengan perbicaraan.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh dengan niat bersama menahan mangsa di lokasi dan waktu yang sama untuk mendapatkan ganjaran, iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Kelapan-lapan individu berkenaan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Tengku Arif dan pasangan suami isteri, iaitu Nidarahayu serta Raibafie turut berdepan 19 lagi pertuduhan ubah wang haram membabitkan lebih RM250,000, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.