Henti main politik dengan minyak dan gas Sabah, Azis Jamman ditegur

Henti main politik dengan minyak dan gas Sabah, Azis Jamman ditegur

Exco Pemuda PGRS Gordon Horace Chin kata kenyataan ketua penerangan Warisan menunjukkan kurangnya pemahaman mengenai industri tersebut.

Gordon Horace Chin dan Azis Jamman
Exco Pemuda PGRS Gordon Horace Chin kata kenyataan Ketua Penerangan Warisan Azis Jamman akan mensabotaj kemajuan Sabah, jika diikuti.
PETALING JAYA:
Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) membidas Azis Jamman kerana mempolitikkan isu minyak dan gas Sabah, mengatakan kenyataan beliau berisiko menjejaskan kestabilan kewangan dan kemajuan negeri.

Exco Pemuda PGRS, Gordon Horace Chin, berkata kenyataan ketua penerangan Warisan itu menunjukkan kurangnya pemahaman mengenai industri tersebut.

“Azis bercakap lantang, tetapi jelas beliau tidak memahami industri minyak dan gas, mahupun struktur kontrak perkongsian pengeluaran (PSC), profil risiko dalam usaha niaga huluan atau tanggungjawab besar yang bersekali dengan menguruskan dana awam.”

“Jika (kenyataan beliau) diikuti, ia akan meletakkan kewangan Sabah dalam risiko dan mensabotaj kemajuan yang telah diusahakan dengan gigih oleh negeri kita,” menurut kenyataan.

Terdahulu, Azis berkata kebergantungan berterusan Sabah pada sub-kontrak dan pengagihan konsesi minyak dan gas berbanding mengambil peranan yang lebih langsung adalah sebab mengapa negeri itu kekurangan kepakaran teknikal dan modal dalam bidang tersebut.

Ketua penerangan Warisan itu mengulas kenyataan Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, yang semalam berkata Sabah International Petroleum (SIP) dan SMJ Energy tidak membida blok minyak dan gas kerana kekurangan kepakaran teknikal dan modal.

“Jika kita dakwa kita kekurangan kepakaran, mengapa tidak ambil dan lantik pakar yang sebenar? Cari dan gajikan golongan profesional yang berkelayakan, bukan penyokong politik yang kemahirannya hanya untuk merompak dan menurut sahaja.

“Jika Sabah tiada pengalaman, bagaimana kita akan dapat pengalaman jika kita tidak mulakan?” kata Azis lapor The Star.

Chin bagaimanapun berkata kerajaan pimpinan GRS mengambil pendekatan strategik melalui syarikat milik negeri, SMJ Energy, yang beri tumpuan pada “memperoleh aset yang menguntungkan dan sedang mengeluarkan hasil, sambil mendapatkan hak untuk mengambil bahagian dalam eksplorasi hanya selepas penemuan dibuat.”

“Ini adalah kepimpinan yang bertanggungjawab, bukan teragak-agak,” katanya.

Chin juga menolak kritikan Azis bahawa Sabah tidak terlibat dalam projek huluan.

“Azis mempersendakan SMJ Energy kerana tidak ‘terjun’ ke bidang huluan, tetapi beliau lupa (atau memilih untuk lupa) bahawa di bawah perjanjian kerjasama komersial dengan Petronas, Sabah sudah pun memegang kepentingan yang signifikan,” katanya.

Menurut Chin, SMJ Energy memiliki 50% dalam PSC Samarang, 10% dalam LNG9, dan 25% dalam Samur.

“Syarikat ini bukan satu konsep. Ia sebuah entiti bernilai RM5 bilion yang memberikan pulangan sebenar sebanyak RM160 juta dividen kepada kerajaan setakat ini.

“Jelas sekali Warisan kecewa dengan kejayaan kerajaan ini. Tetapi cuba untuk mengelirukan orang ramai dengan separuh kebenaran dan putar belit politik tidak akan mengubah fakta.”

“Sabah akhirnya berjaya mengatasi salah urus kewangan selama bertahun-tahun dan itu kerana kepimpinan semasa beri tumpuan pada penyelesaian, bukan slogan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.