Asia Timur intai peranan global lebih besar menerusi Asean+3

Asia Timur intai peranan global lebih besar menerusi Asean+3

Dengan gabungan KDNK hampir USD 30 trilion, negara Asean+3 menyokong kerjasama lebih mendalam tangani cabaran bersama dan kekal momentum pertumbuhan.

Menteri luar China, Jepun dan Korea Selatan bersama Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan di Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean+3 ke-26. di Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Asia Timur giat menggandakan usaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai enjin pertumbuhan global, dengan negara Asean Tambah Tiga (Asean+3) kini menyumbang lebih 25% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global serta sekitar 40% kepada pertumbuhan ekonomi dunia.

Menteri Luar Mohamad Hasan, wakil Malaysia selaku pengerusi Asean, berkata Asean+3 mempunyai kekuatan strategik dan tanggungjawab untuk memastikan kestabilan serta mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

“Kita harus sedar bahawa secara kolektif, Asean+3 merangkumi jumlah penduduk seramai 2.28 bilion orang, dengan jumlah KDNK nominal kira-kira USD29.33 trilion, iaitu 25.77% daripada KDNK global,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean+3 ke-26.

Menteri luar dari China, Jepun dan Korea Selatan turut menggesa jaringan keselamatan kewangan lebih kukuh, integrasi perdagangan lebih mendalam, dan tindakan kolektif bagi menangani cabaran serantau bersama.

Menteri Luar China, Wang Yi, berkata perpaduan dan kerjasama amat penting ketika rantau ini berdepan cabaran daripada dasar perlindungan dan unilateral, termasuk pengenaan tarif secara ‘sembarangan’ oleh kuasa besar — merujuk kepada Amerika Syarikat.

Beliau berkata Asean+3 perlu kekal berdaya tahan dan responsif terhadap gangguan, sambil memaklumkan China memperbaharui sumbangan sebanyak USD4 juta kepada Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean+3 dan menyokong penubuhan kemudahan pembiayaan segera di bawah Inisiatif Chiang Mai.

“Persekitaran luaran semakin tidak menentu. Kerjasama Asean+3 mesti menyesuaikan diri dengan trend yang lebih luas ini, mengatasi gangguan, memikul tanggungjawab dan bekerjasama dalam solidariti,” katanya dalam mesyuarat tersebut.

Timbalan Menteri Luar I Korea Selatan, Park Yoon Joo, berkata negaranya memimpin usaha mengukuhkan Inisiatif Chiang Mai dan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada Rizab Kecemasan Beras Asean+3, merangkumi hampir 70% daripada keseluruhan stok.

“Sebagai salah satu mekanisme paling menyeluruh dan berfungsi di rantau ini, Asean+3 boleh melakukan lebih banyak usaha bersama untuk menangani cabaran yang dihadapi rantau ini,” kata Park sambil mengulangi sokongan Korea terhadap Wawasan Komuniti Asean 2045 dan kepusatan Asean.

Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya, pula berkata peningkatan kekuatan ekonomi kumpulan ini membawa tanggungjawab tambahan untuk menerajui usaha dalam bidang kesihatan awam, penuaan penduduk dan ketahanan bencana.

Beliau mengulangi sokongan Tokyo terhadap Pandangan Asean mengenai Indo-Pasifik (AOIP) dan memuji keserasian antara Asean+3 dengan proses tiga hala Jepun–China–Korea Selatan.

“Saya percaya terdapat kepentingan dan potensi besar dalam bekerjasama menerusi kerangka Asean Plus Tiga untuk menangani isu-isu ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.