Wajar kekalkan hukuman penjara tetap 30 tahun bagi pengedar dadah, kata peguam

Wajar kekalkan hukuman penjara tetap 30 tahun bagi pengedar dadah, kata peguam

Sebarang usaha meminda undang-undang bagi memberi ruang hakim menentukan hukuman terhadap pengedar dadah mungkin membawa kepada ketidakwarasan undang-undang.

Penjara
Seksyen 3 Akta Kehakiman Jenayah 1953 menetapkan ‘penjara seumur hidup’ bermaksud hukuman penjara selama 30 tahun secara tetap. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Dua peguam memberi amaran supaya tiada pindaan dibuat terhadap kerangka hukuman sedia ada yang membenarkan hakim mengenakan hukuman penjara panjang secara tetap terhadap pengedar dadah sebagai alternatif kepada hukuman mati.

Mereka berkata memberi budi bicara kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman penjara lebih singkat boleh menyebabkan ketidakselarasan dalam undang-undang memandangkan kesalahan memiliki dadah sudah membawa hukuman minimum mandatori apabila disabitkan.

Peguam N Sivananthan berkata undang-undang telah dipinda dua tahun lalu bagi membolehkan hakim memilih antara hukuman mati atau penjara selama 30 tahun bagi kesalahan mengedar dadah.

Pindaan itu juga memperuntukkan hukuman sebatan minimum 12 kali bagi lelaki yang berumur bawah 50 tahun.

“Hukuman penjara 30 tahun bagi kesalahan mengedar dadah wajar dikekalkan kerana ia jenayah serius dan ancaman kepada masyarakat.

“Parlimen tidak perlu meminda undang-undang berkenaan,” katanya.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu yang memutuskan hakim tidak mempunyai bidang kuasa memendekkan hukuman penjara terhadap pengedar dadah kerana tempohnya telah ditetapkan undang-undang.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Nordin Hassan berkata tangan hakim ‘terikat’ kerana Seksyen 3 Akta Kehakiman Jenayah 1953 menetapkan ‘penjara seumur hidup’ bermaksud penjara selama 30 tahun.

Kenyataan Nordin dibuat ketika menolak rayuan Chui Kah Fah, bekas pekerja cuci kereta, terhadap hukuman mengedar kira-kira 7.3kg dadah jenis methamphetamine.

Sivananthan berkata, Akta Dadah Berbahaya 1952 juga memberikan hakim kuasa menjatuhkan hukuman penjara dari minimum lima tahun hingga maksimum 30 tahun terhadap individu yang disabitkan kesalahan memiliki dadah.

“Ia boleh membawa kepada ketidakwarasan undang-undang sekiranya mahkamah diberikan kuasa untuk menjatuhkan hukuman minimum bagi kedua-dua kesalahan iaitu mengedar dan memiliki dadah,” katanya.

Beliau menambah pengedar dadah sepatutnya bersyukur jika hakim menggunakan budi bicara mereka untuk tidak menjatuhkan hukuman mati.

Peguam Salim Bashir pula berkata, hukuman penjara tetap terhadap pengedar dadah disifatkan munasabah berbanding pesalah jenayah bunuh yang boleh dipenjarakan sehingga 40 tahun.

“Pengedar dadah hanya menjalani 20 tahun hukuman penjara kerana mereka mendapat potongan satu pertiga daripada tempoh hukuman atas kelakuan baik ketika dalam penjara,” kata Salim, yang juga bekas presiden Majlis Peguam.

Beliau berkata, hukuman penjara tetap juga boleh menggalakkan pengedar dadah mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, sekali gus membantu mempercepatkan penyelesaian kes dan mengurangkan jumlah rayuan.

“Saya percaya mahkamah perbicaraan akan menentukan tahap hukuman dengan mengambil kira kepentingan awam dan kebajikan tertuduh, memandangkan keseriusan kesalahan tersebut,” katanya.

Pada 19 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata penyalahgunaan dadah di Malaysia telah mencapai tahap kritikal dan kini menjadi ancaman serius terhadap keselamatan awam, kestabilan ekonomi dan struktur sosial negara.

Merujuk data terkini, beliau berkata terdapat 192,857 pengguna dan penagih dadah di negara ini, dengan 61% daripadanya berumur antara 15 hingga 39 tahun setakat tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.