
Azahar Muda, yang pernah mengetuai jabatan siasatan jenayah polis negeri itu, berkata seorang saksi, Yusri Khalid, yang mendakwa melihat satu kejadian kejar-mengejar kereta pada malam 24 Nov 2016, tidak dapat mengesahkan sama ada Amri terlibat.
Beliau berkata seorang lagi saksi, Vee Yak Ban Jong, yang melihat beberapa kereta diparkir di luar rumah Amri beberapa hari sebelum lelaki itu dilaporkan hilang, juga tidak dapat membantu pihak berkuasa.
“Itulah sebabnya kami membuka kertas inkuiri kerana kami mempunyai keraguan dan tidak pasti (apa yang berlaku). Saya arahkan pegawai saya untuk mencari petunjuk dan saksi,” katanya.
Menurutnya, ketika itu kes kehilangan Amri itu disiasat sama seperti kes biasa orang hilang.
Azahar memberi keterangan dalam saman sivil yang difailkan oleh isteri Amri, Norhayati Ariffin, terhadap kerajaan dan beberapa pegawai polis, termasuk dirinya, berhubung tindakan dalam siasatan mengenai kehilangan aktivis itu.
Saman itu mendakwa defendan melanggar undang-undang dan kewajipan statutori mereka, melakukan salah guna kuasa dalam jawatan awam, dan cuai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Peguam Norhayati, Surendra Ananth, berkata Vee Yak mengenal pasti nombor pendaftaran sebuah Toyota Vios yang diparkir di luar rumah Amri.
“Adakah kamu arahkan (pegawai penyiasat) Khor Yi Shuen dan Roslan Remeli untuk menyemak nombor pendaftaran itu dan pemilik berdaftarnya?” soal beliau.
Azahar berkata dua pegawai itu datang kepadanya dan memaklumkan bahawa pemilik berdaftar kenderaan itu, Saiful Bahari Abdul Aziz, sedang bekerja pada malam 24 Nov 2016.
“Saya arahkan mereka memeriksa CCTV di plaza tol untuk melihat jika ada mana-mana kereta Vios yang masuk ke Perlis dan juga jika ada Saiful Bahari yang mendaftar masuk ke hotel di sini.
“Mereka kata tiada Vios masuk ke Perlis pada hari itu. Khor juga pergi ke tempat kerja Saiful dan mendapati Vios itu tidak mempunyai cermin gelap, yang bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Vee Yak,” katanya.
Surendra: Adakah kamu tahu bahawa pasukan petugas membuat kesimpulan bahawa polis gagal menjadikan Saiful sebagai suspek utama, dan bahawa kamu tidak mendapatkan maklumat tentang keberadaan lelaki itu dengan segera?
Azahar: Saya tidak bersetuju (dengan kesimpulan itu). Khor telah memeriksa plaza tol dan hotel (sekitar Perlis).
Azahar sedar Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan semula kehilangan Amri sebagai penculikan pada 2019, dan berkata mereka hanya mematuhi arahan itu apabila ia diterima.
Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa Azahar adalah saksi terakhir defendan dan mereka ingin menutup kes.
Hakim Su Tiang Joo mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan dan jawapan sebelum 29 Sept.
Mahkamah menetapkan 5 Nov untuk keputusan, iaitu pada hari yang sama dengan keputusan dalam saman keluarga Pastor Raymond Koh terhadap kerajaan dan polis.