
Anwar berkata instrumen ekonomi tradisional seperti tarif, eksport dan pelaburan kini menjadi ‘senjata dipertajamkan’ dalam persaingan geopolitik di dunia yang semakin terpolarisasi.
“Ini bukan ribut yang berlalu. Inilah cuaca baharu zaman kita,” katanya dalam ucaptama pada majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-58 dan Persidangan Pasca Menteri.
“Asean mesti menghadapi realiti ini dengan kejelasan dan keyakinan. Kita mesti membaca landskap secara klinikal, bercakap dengan jelas dan bertindak dengan pandangan jauh.”
Beliau menggesa Asean memperkukuh penyelarasan antara dasar luar dan ekonominya, dengan menekankan menteri-menteri dari pelbagai portfolio perlu ‘bergerak seiring’ untuk menangani cabaran yang terus berkembang.
“Kesepaduan kita tidak harus berhenti pada kenyataan bersama. Ia mesti dibina dalam institusi kita, strategi kita dan keputusan ekonomi kita,” katanya.
Kenyataan Anwar ini dibuat sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan tarif 25% ke atas barangan Malaysia bermula 1 Ogos, dengan alasan ketidakseimbangan perdagangan.
Dalam sepucuk surat kepada Anwar, Trump memberi amaran sebarang tindakan balas tarif terhadap barangan AS akan mencetuskan kenaikan tarif tambahan sebanyak 25%.
Dalam ucapannya juga, Anwar menyentuh ketegangan terkini antara Kemboja dan Thailand berhubung pertikaian sempadan.
“Bahkan insiden malang yang berlaku baru-baru ini antara Kemboja dan Thailand — yang mana sudah tentu ramai pemimpin, malah semua pemimpin Asean, menyatakan kebimbangan — kami langsung tidak teragak-agak untuk segera menghubungi rakan-rakan di kedua-dua negara bagi menyuarakan kebimbangan dan menyokong segala usaha dan inisiatif untuk mencapai keamanan berkekalan,” katanya.