
Johari berkata, perkara itu berkemungkinan besar berpunca daripada langkah kerajaan menggalakkan pembelian dan penggunaan kenderaan elektrik (EV) melalui pelbagai insentif sejak 2022.
Beliau berkata, insentif berkenaan menarik beberapa pembuat kereta baharu seperti BYD dan Tesla untuk memasuki pasaran Malaysia, yang secara langsung menjejaskan jualan jenama Jepun yang tidak menawarkan (EV).
“Toyota, Honda, Mazda dan Mitsubishi telah menguasai sehingga 26% pasaran domestik pada 2020, dan meningkat kepada kira-kira 30% pada 2021 dan 2022, sebelum menunjukkan trend penurunan secara purata kepada 26.2% bagi 2023 sehingga 2025.
“Jumlah jualan keseluruhan bagi semua jenama Jepun mula menunjukkan trend penurunan pada 2023. Penurunan ini berkemungkinan dipengaruhi dasar kerajaan yang menggalakkan penggunaan (EV) melalui pemberian insentif cukai,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Johari berkata, pembuat kereta nasional, Proton dan Perodua, terus mendominasi pasaran domestik dengan pegangan pasaran konsisten 61%, dari 2020 hingga 2025.
Menteri itu turut memaklumkan Chery mencatatkan lonjakan jualan amat besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, daripada jualan 4,649 unit pada 2024 kepada 20,427 pada 2024 dan 33,136 pada tahun lalu.
Beliau berkata, ia berlaku selepas pembuat kereta dari China itu memulakan operasi pemasangan tempatan di kilang Inokom.
Beliau menjawab pertanyaan Oscar Ling (PH-Sibu), yang meminta menteri mendedahkan rekod jualan Proton dan Perodua berbanding Toyota, Honda, Mazda, Mitsubishi, dan Chery bagi tempoh enam tahun lalu.