
Penganalisis politik, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM), berkata parti itu hanya memperjudikan nasib mereka semata-mata yang berisiko menjerat masa depannya.
“Bagi saya PAS memperjudikan nasib yang mustahil untuk menjadi kenyataan, buang masa dan tidak berpijak di bumi nyata.
“Politik Sabah bukan seperti di Semenanjung. Dengan keahlian hanya lebih 1,000 orang Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) terdiri daripada masyarakat Dusun dan Cina, PAS membuat kesimpulan awal yang menjerat masa depan parti itu sendiri,” katanya kepada FMT.
Semalam, FMT melaporkan Setiausaha PAS Sabah Sahar Abdul Majid berkata parti itu bersedia mempertaruhkan calon bukan Islam yang bagaimanapun bergantung keperluan dan lokasi kerusi bakal ditandingi mewakili Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata sukar untuk PAS menang di Sabah walaupun meletakkan calon bukan Islam.
Katanya, jika PAS menggunakan lambang parti itu, hampir pasti rakyat Sabah tidak akan mengundi mereka.
“Tetapi kalau guna lambang Perikatan Nasional (PN) ada peluang untuk menang. Itupun jika rakyat di Sabah mungkin tidak sedar calon itu calon PAS.
“Tetapi parti lawan dia mesti akan guna kempen burukkan PAS dengan mengatakan calon itu daripada PAS. Jadi jika rakyat Sabah tahu, mungkin fikir dua kali untuk pilih calon PAS,” katanya.
Sebelum ini, PAS mengesahkan akan bertanding sekurang-kurangnya enam daripada 73 kerusi DUN Sabah di bawah tiket PN.