PAC panggil Amir Hamzah berhubung penjualan saham, penswastaan MAHB

PAC panggil Amir Hamzah berhubung penjualan saham, penswastaan MAHB

Menteri kewangan II dipanggil untuk beri keterangan dalam prosiding berhubung isu pengurusan lapangan terbang awam.

amir hamzah
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dipanggil PAC berhubung isu penjualan saham dan penswastaan MAHB. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan untuk memberi keterangan berhubung isu penjualan saham dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Beliau dipanggil sebagai saksi bagi meneruskan prosiding PAC berhubung isu pengurusan lapangan terbang awam di bawah Kementerian Kewangan (MoF), MAHB, Khazanah Nasional Berhad, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), esok.

Pengerusi Mas Ermieyati Samsudin berkata PAC telah mengadakan 14 prosiding berhubung isu pengurusan lapangan terbang awam.

Enam prosiding sepanjang minggu ini, melibatkan bekas CEO MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin, CEO Hong Leong Investment Bank Berhad Lee Jim Leng, CEO Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) Nik Amlizan Mahamed, CEO Permodalan Nasional Berhad Abdul Rahman Ahmad, CEO Bursa Malaysia Fad’l Mohamed, dan Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Zain Azhari Mazlan yang mewakili pengerusinya, Mohammad Faiz Azmi.

Penyata akan dibentangkan selepas keterangan semua pihak berkepentingan diambil, kata Mas Ermieyati.

Prosiding berhubung isu pengurusan lapangan terbang awam bermula pada minggu kedua Februari, dengan Mas Ermieyati pada 16 Feb dilapor berkata ia akan berlaku dalam tempoh yang panjang sebab banyak pihak dipanggil.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan memanggil Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan beberapa individu penting.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.