Mahkamah tetap 20 Ogos dengar permohonan Peter Anthony semak keputusan

Mahkamah tetap 20 Ogos dengar permohonan Peter Anthony semak keputusan

Panel hakim Mahkamah Rayuan berpendapat ia perlu lihat dan teliti alasan penuh penghakiman panel hakim terdahulu.

peter-anthony
Peter Anthony dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 20 Ogos untuk pendengaran permohonan bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Peter Anthony untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas berpendapat mahkamah perlu melihat dan meneliti alasan penuh penghakiman oleh panel hakim terdahulu di Mahkamah Rayuan.

“Kami (panel hakim) telah berbincang dan bersepakat, melihat kepada hujahan serta afidivit yang difailkan, ianya ada menyentuh kepada alasan penghakiman ringkas (broad ground) dan kami perlu melihat alasan penuh (penghakiman Mahkamah Rayuan terdahulu ),” kata Azman yang turut bersidang bersama Hakim Lim Chong Fong dan Lim Hock Leng.

Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Peter memohon suatu tarikh baharu ditetapkan berikutan Peter adalah Adun Melalap.

“Pemohon (Peter) adalah seorang Adun dan dipercayai DUN Sabah akan dibubarkan tidak lama lagi, saya difahamkan bulan September. Jika boleh kita dapat satu tarikh baharu sebelum itu, sudah memadai,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan peguam untuk mendapatkan tarikh baharu itu.

Pada 14 Mac lalu, Peter memfailkan notis usul memohon Mahkamah Rayuan mengkaji semula serta mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Peter turut memohon pembatalan waran penjara bertarikh 4 Mac lepas yang dikeluarkan kepada Penjara Kajang terhadap beliau serta apa-apa perintah berbangkit bagi memastikan keadilan dalam kes tersebut.

Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan Peter menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas menolak rayuan akhir beliau terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.

Sebelum ini, Peter memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 April 2023 untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan, namun rayuan itu ditolak pada 18 April tahun sama.

Beliau telah membayar denda RM50,000 yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai pengarah urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.