Polis terima 1 laporan video palsu papar imej Sultan Pahang

Polis terima 1 laporan video palsu papar imej Sultan Pahang

Ahad lalu, Istana Pahang memaklumkan penyebaran video AI memaparkan wajah menyerupai Sultan Pahang berkaitan tawaran bantuan kepada rakyat adalah tidak benar.

Yahaya Othman
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata laporan itu dibuat Istana Pahang Ahad lepas. (Gambar Bernama)
PEKAN:
Polis Pahang mengesahkan menerima satu laporan berhubung penyebaran video palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) memaparkan wajah menyerupai Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata pihaknya menerima laporan itu daripada Istana Pahang Ahad lepas.

“Kita juga dapati akaun TikTok itu palsu…dan saya rasa akaun berkenaan masih beroperasi,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di IPD Pekan di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Yahaya menasihatkan masyarakat menyemak kesahihan maklumat dipaparkan di media sosial, khususnya melibatkan institusi diraja.

Pada 6 Julai lalu, Istana Pahang memaklumkan penyebaran video menggunakan teknologi AI memaparkan wajah menyerupai Sultan Pahang berkaitan tawaran bantuan kepada rakyat adalah tidak benar.

Istana Pahang menjelaskan video disebarkan menerusi beberapa akaun TikTok itu tidak sahih dan tindakan berkenaan merupakan penyalahgunaan imej Al-Sultan Abdullah bagi tujuan penipuan serta memperdaya orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.