23 kes ajaran sesat dikesan di Selangor sejak 2019

23 kes ajaran sesat dikesan di Selangor sejak 2019

Exco negeri Mohammad Fahmi Ngah berkata 12 kes disabitkan kesalahan dan baki 11 lagi sedang melalui proses perbicaraan di Mahkamah Syariah.

Exco Selangor Mohammad Fahmi Ngah berkata antara ajaran sesat yang dikenakan tindakan ialah Syiah, ‘Millah Abraham’, ‘Hizbut Tahrir’, Rasul Melayu dan Tuhan Harun. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Sebanyak 23 kes berhubung ajaran sesat dikesan dan diambil tindakan penguatkuasaan di negeri ini sejak 2019 hingga 2024, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Mohammad Fahmi Ngah, berkata daripada jumlah itu, 12 kes disabitkan kesalahan dan baki 11 lagi sedang melalui proses perbicaraan di Mahkamah Syariah.

“Antara ajaran sesat yang telah diambil tindakan ialah Syiah, ‘Millah Abraham’, ‘Hizbut Tahrir’, Rasul Melayu dan Tuhan Harun,” katanya menjawab pertanyaan Chua Wei Keat (PH-Rawang) ingin tahu kes pernah berlaku di Selangor serta tindakan diambil, selain tindakan kerajaan negeri untuk mengawal penyebaran ajaran sesat.

Fahmi berkata, antara pendekatan diambil kerajaan negeri bagi mengawal penyebaran ajaran sesat adalah menerusi intervensi melalui penjelasan, pendidikan, pemantauan dan penguatkuasaan kepada ajaran sesat yang dikenal pasti tersebar.

Menurutnya, maklumat berkaitan juga disebarkan melalui penerbitan bahan bercetak serta media elektronik, selain sesi khutbah Jumaat digunakan bagi memberi kesedaran berkaitan ajaran sesat.

“Selain itu, kerajaan negeri menguatkuasakan undang-undang dengan kerjasama pelbagai agensi berkepentingan, di samping melaksanakan proses pemulihan dan bimbingan kepada mereka yang terlibat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.